Skip to main content

Sukan

Skuad negara mara ke peringkat separuh akhir; Gavin Lee sanjung semangat juang pasukan

Ketua jurulatih skuad Lions, Gavin Lee, memuji ketabahan pasukannya selepas mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Bola Sepak ASEAN pada Jumaat (7 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Skuad negara mara ke peringkat separuh akhir; Gavin Lee sanjung semangat juang pasukan

Para pemain Singapura mengucapkan terima kasih kepada para penyokong selepas tamat perlawanan menentang Indonesia pada 7 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 08 Aug 2026 07:02AM
  • Skuad bola sepak Singapura, diketuai Gavin Lee, mara ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak ASEAN selepas seri menentang Indonesia di Stadium Jalan Besar.
  • Ilhan Fandi menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-66, memastikan Singapura kekal tanpa kalah dan mengumpul lapan mata dalam Kumpulan A.
  • Jurulatih dan pemain seperti Jacob Mahler menekankan pentingnya semangat juang, keyakinan, serta sokongan kepada penyokong dan keluarga.
  • Skuad Lions berazam memperbaiki prestasi menjelang separuh akhir, dengan matlamat membanggakan rakyat Singapura dan membina pasukan yang kukuh.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Ketua jurulatih skuad Lions, Gavin Lee, memuji ketabahan pasukannya selepas mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Bola Sepak ASEAN pada Jumaat (7 Ogos).

Di Stadium Jalan Besar, jaringan penyamaan Ilhan Fandi pada minit ke-66 berjaya mengesahkan kemaraan Singapura ke peringkat separuh akhir kejohanan, selepas Ragnar Oratmangoen meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-47.

"Saya amat bangga dengan para pemain dan barisan kakitangan. Perjalanan kami bukan sesuatu yang mudah," kata Lee dalam satu sidang media selepas perlawanan.

"Malah sebelum kejohanan bermula, hampir tiada sesiapa yang memberi kami peluang dalam kumpulan ini. Jadi, dapat mengharungi cabaran dan meraih keputusan seperti ini benar-benar memberi kepuasan sebagai seorang jurulatih."

"Ia satu perlawanan yang sangat mencabar. Kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini, bukan sahaja buat kami, malah untuk keluarga kami dan semua penyokong bola sepak Singapura," kata pemain terbaik perlawanan, Jacob Mahler, 26 tahun, yang mengalami kekejangan ketika sidang media berlangsung.

"Matlamat utama kami ialah mara ke pusingan seterusnya dan memberi peluang kepada rakyat Singapura menyaksikan pasukan negara beraksi di peringkat separuh akhir. Masih banyak yang perlu diperbaiki, dan kini tumpuan kami sepenuhnya beralih ke peringkat separuh akhir. Kami tidak sabar menghadapinya."

Keputusan itu bermakna skuad Lions kekal tanpa kalah dalam kejohanan tersebut dengan mengumpul lapan mata daripada empat perlawanan. Mereka menamatkan saingan di tempat kedua dalam Kumpulan A di belakang Vietnam. Vietnam mengalahkan Kemboja 3-1 pada Jumaat malam.

Tiga daripada empat pasukan Asia Tenggara yang layak ke Piala Asia tahun depan berada dalam Kumpulan A, dengan Singapura sebagai pasukan yang berada di kedudukan paling rendah dalam ranking FIFA antara ketiga-tiganya.

Vietnam kini berada di tangga ke-99 ranking FIFA, Indonesia di tangga ke-118, manakala skuad Lions di tangga ke-148.

Lee, yang tahun lalu membantu skuad Lions mencipta sejarah dengan melayakkan diri ke Piala Asia, berkata beliau berharap pasukannya akan terus membina keyakinan.

"Kalau kami sendiri tidak percaya kepada kemampuan kami, tiada siapa lagi yang akan percaya," tambah beliau.

Mahler pula berkata: "Keyakinan ialah sesuatu yang kami perlukan dengan lebih banyak lagi. Apabila turun beraksi, kami perlu yakin dengan kemampuan kami.

"Kekal tanpa kalah bukan sesuatu yang mudah, bukan? Saya rasa kami bekerja keras untuk mencapainya dan ia membuktikan bahawa kami mampu melakukannya."

PASUKAN NEGARA YANG MEMBANGGAKAN

Bercakap kepada para wartawan selepas perlawanan, jurulatih Indonesia John Herdman berkata: "Saya rasa kami menguasai perlawanan dan berada pada kedudukan yang baik.

"Pujian harus diberikan kepada Singapura. Mereka mempamerkan semangat juang yang tinggi dan bermain dengan begitu teratur, tetapi kami sebenarnya mempunyai peluang yang mencukupi untuk memenangi perlawanan itu.

"Kami menguasai bola dan permainan, tetapi kadangkala tuah tidak memihak kepada anda."

Singapura akan menentang para pemenang Kumpulan B, yang terdiri daripada Thailand, Malaysia, Filipina, Myanmar dan Laos.

Menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada Sabtu, Thailand kini mendahului Kumpulan B dengan sembilan mata.

Ini merupakan edisi kedua berturut-turut kejohanan tersebut yang menyaksikan skuad Lions berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan.

Skuad Lions memulakan kempen mereka dengan kemenangan ke atas Kemboja (2-1) dan Timor-Leste (2-0), sebelum seri tanpa jaringan dengan Vietnam di tempat lawan.

Mahler memberi penghargaan kepada Lee dan kapten Hariss Harun kerana berjaya menyemai semangat berpasukan yang kukuh dalam skuad negara.

"Kami semua mempunyai hubungan yang sangat baik antara satu sama lain. Kami telah melalui pelbagai suka dan duka bersama, dan saya rasa ia telah merapatkan lagi hubungan kami," kata beliau.

"Kami telah melalui banyak perkara, dan saya rasa semua yang mengikuti bola sepak Singapura tahu mengenainya... Kami semua berkongsi matlamat yang sama, iaitu mahu para penyokong, rakyat dan seluruh warga Singapura mempunyai sebuah pasukan negara yang boleh mereka banggakan.

"Itulah pegangan kami setiap kali melangkah masuk ke padang."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita