Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Singtel, Starhub berunding dengan FIFA peroleh hak penyiaran Piala Dunia 2022

Anggaran Waktu Membaca:
Singtel, Starhub berunding dengan FIFA peroleh hak penyiaran Piala Dunia 2022

(Gambar: Kirill Kudryavtsev/AFP)

SINGAPURA: Singtel dan Starhub sedang dalam perundingan dengan FIFA berhubung hak penyiaran Piala Dunia 2022, menurut kedua-dua pengendali televisyen yang berbayar itu.

Kedua-dua syarikat mengesahkan perkara itu dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp pada Khamis (18 Ogos), namun menyatakan ia tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Piala Dunia 2022 bakal membuka tirainya di Qatar pada 20 November, dengan perlawanan pembukaan menyaksikan tuan rumah menentang Ecuador.

Ini akan merupakan kali pertama Piala Dunia diadakan di Timur Tengah. Bagi mengelakkan cuaca terik tatkala musim panas di rantau itu, perlawanan tersebut ditundakan ke lewat tahun ini dari jadual biasanya antara Jun hingga Julai.

Semasa Piala Dunia lalu pada 2018, Singtel, Starhub dan Mediacorp berkolaborasi buat julung-julung kalinya untuk menawarkan liputan penuh dan menyeluruh Piala Dunia, dengan ketiga-tiga penyiar menayangkan kesemua 64 perlawanan.

Pakej Piala Dunia sebelum ini berharga S$94.16 bagi promosi langganan awal dan kemudian berharga S$112.35 - tidak berubah daripada harga yang ditawarkan semasa Piala Dunia 2014.

Mediacorp juga menyiarkan sembilan perlawanan secara percuma di saluran Okto pada 2018, iaitu tambahan lima perlawanan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Persatuan Rakyat (PA) juga pernah menganjurkan tayangan langsung secara percuma untuk orang ramai. Malah, empat tahun lalu, ia menayangkan perlawanan Piala Dunia di 55 kelab masyarakat dan Hab Tampines Kita.

SIARAN SERANTAU

Sementara itu, di Asia Tenggara, negara-negara seperti Malaysia, Filipina dan Indonesia sudahpun memperolehi hak untuk menyiarkan perlawanan Piala Dunia 2022.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Annuar Musa berkata pada Ahad (14 Ogos) bahawa 41 perlawanan - 27 secara langsung dan 14 siaran tertunda - akan disiarkan secara percuma di Radio Television Malaysia (RTM).

Perlawanan-perlawanan itu bakal disiarkan di tiga saluran - TV2, TV Okey, Sukan RTM - dan juga melalui penstriman secara langsung menerusi RTM Klik.

Di Indonesia, kumpulan media Emtek sudah memperolehi hak penyiaran.

Penyiar tersebut akan menyiarkan perlawanan Piala Dunia 2022 di saluran-saluran siaran percuma SCTV, Indosiar, O Channel dan Mentari TV, saluran sukan berbayar Champions TV serta di platform penstrimiman Vidio.

Manakala di Filipina, penyiar rasmi bagi Piala Dunia 2022 ialah TAP Digital Media Ventures yang akan menyiarkan perlawanan-perlawanan menerusi saluran WC TV.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan