Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

"Shebby nampak penat ketika berbasikal," kata Aidil Zafuan

Anggaran Waktu Membaca:
"Shebby nampak penat ketika berbasikal," kata Aidil Zafuan

Gambar: BERNAMA

Diterbitkan : 13 Jan 2022 08:37AM Dikemas Kini : 13 Jan 2022 08:39AM

KUALA LUMPUR: Kapten Harimau Malaya Aidil Zafuan Abdul Radzak yang sempat berselisih dengan mendiang Shebby Singh ketika beliau baru keluar berbasikal petang semalam (12 Jan) mengakui mendiang kelihatan penat.

Kata Aidil Zafuan yang juga pemain pertahanan skuad kebangsaan, mendiang sememangnya seorang yang aktif berbasikal dan pemergiannya itu pasti akan dirasai dalam keluarga bola sepak tanah air.

"Saya menerima berita pemergian mendiang lebih kurang jam 8.00 malam tadi... agak terkejut juga kerana petang tadi dalam lebih kurang jam 5.15 petang, saya sempat berselisih dengan mendiang.

“Ketika itu, mendiang baru sahaja mula berbasikal. Saya sempat mengangkat tangan kepada dia, jadi dia pun sempat mengangkat tangan semula dan keadaan dia pun memang nampak penatlah.

“Saya rasa ketika itu dia baru mula nak berbasikal kerana rumah saya dan rumah mendiang berhampiran. Namun ketika itu, cuaca agak panas.

BACA:Bekas pemain bola sepak kebangsaan M'sia Serbegeth Singh meninggal dunia

“Pada awalnya saya terfikir siapa yang sedang berbasikal dalam keadaan panas ini, apabila sudah dekat baru saya perasan rupanya mendiang,” ujar Aidil Zafuan ketika ditemu bual Astro AWANI pada Rabu (12 Jan).

“Mendiang memang seorang yang aktif berbasikal, dalam kumpulan WhatsApp berbasikal, mendiang memang aktif dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

“Semua sangat terkejut sebaik menerima khabar pemergian mendiang. Dengan pemergian mendiang, sudah tentu kita kehilangan bekas pemain yang begitu boleh dipanggil sebagai legenda, satu kehilangan besar buat keluarga bola sepak.

“Mendiang seorang yang sering memberi kritikan membina, banyak kritikan mendiang yang boleh diambil untuk memajukan arena bola sepak, itu yang saya rasa... pemergiannya amat dirasai,” katanya lagi.

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh atau lebih dikenali sebagai Shebby meninggal dunia dipercayai selepas terjatuh ketika berbasikal di kawasan Ledang, Johor pada petang semalam.

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan