Skip to main content

Sukan

Shanti Pereira gagal ke separuh akhir 200m selepas catat 23.45s dalam pusingan saring semula

Anggaran Waktu Membaca:
Shanti Pereira gagal ke separuh akhir 200m selepas catat 23.45s dalam pusingan saring semula

Ratu pecut Singapura Shanti Pereira bersaing dalam pusingan pertama acara 200m wanita di Sukan Olimpik pada 4 Ogos 2024. (Gambar: Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura/Kong Chong Yew)

PARIS: Kempen Olimpik bagi Shanti Pereira berakhir pada Isnin (5 Ogos) selepas beliau mencatat masa 23.45 saat dalam pusingan saring semula.

Di Stade de France, ratu pecut Singapura itu malangnya mengakhiri larian di tempat paling corot, dikalahkan tujuh pesaing lain dalam saringan 1.

Rekod terbaik peribadi dan negara Shanti kekal pada 22.57 saat manakala masa terpantas yang dicatat pada musim ini adalah 23.17 saat.

Terdapat empat pusingan saring semula pada Isnin (5 Ogos), dengan enam tempat dipertandingkan.

Hanya atlet yang mengungguli setiap saringan, dan dua atlet seterusnya dalam senarai yang mencatat masa terpantas dalam keempat-empat saringan, layak ke separuh akhir.

Pusingan saring semula adalah sebahagian daripada format baharu bagi acara-acara tertentu. Ia menggantikan sistem lama di mana para atlet dengan baki masa terpantas mara ke pusingan seterusnya.

Pusingan saring semula hari ini sekali gus menandakan berakhirnya perjuangan Shanti dalam Olimpik.

Persediaan yang dilakukan pemenang pingat emas bagi acara 200m Sukan Asia itu hakikatnya tidak mudah disebabkan kecederaan tekanan pada tulang betisnya.

Pada Ahad, Shanti gagal mendapatkan kelayakan automatik dalam acara sama selepas menduduki tempat terakhir dalam kalangan lapan atlet. Beliau mencatat masa 23.21 saat.

Shanti menduduki kedudukan ke-31 dalam kalangan 45 peserta.

Awal dari itu dalam Sukan Olimpik, Shanti gagal mara ke separuh akhir 100m dan secara keseluruhan menduduki tangga ke-55 daripada 72 atlet.

Masa 11.63 saat yang dicatat menempatkannya di kedudukan ketujuh daripada sembilan pelari dalam saringan yang disertai.

Rekod negara kekal pada 11.20 saat.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita