Skip to main content

Sukan

SG tutup tirai Kejohanan Akuatik Dunia; Budapest tuan rumah seterusnya

Kejohanan Akuatik Dunia menutup tirainya di Singapura pada Ahad (3 Ogos), dengan bendera kejohanan secara rasmi diserahkan kepada Budapest, tuan rumah seterusnya bagi acara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
SG tutup tirai Kejohanan Akuatik Dunia; Budapest tuan rumah seterusnya

Presiden World Aquatics, Husain Al-Musallam, mengibarkan bendera semasa Kejohanan Akuatik Dunia menutup tirainya di Singapura pada 3 Ogos 2025. (Gambar: AP/Vincent Thian)

SINGAPURA: Kejohanan Akuatik Dunia menutup tirainya di Singapura pada Ahad (3 Ogos), dengan bendera kejohanan secara rasmi diserahkan kepada Budapest, tuan rumah seterusnya bagi acara itu.

Upacara tersebut berlangsung pada Ahad malam sebelum sesi akhir kejohanan, menurut penganjur dalam satu kenyataan media.

Bendera kejohanan diterima oleh Presiden Persekutuan Renang Hungary, Sandor Wladar, dan Ahli Suruhanjaya Atlet Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Daniel Gyurta.

Budapest dijadual menjadi tuan rumah kejohanan itu pada 2027.

"Sepanjang tiga minggu lalu kami menyaksikan persembahan yang cukup mengagumkan dan penuh berinspirasi dalam air, dan kami berbesar hati berpeluang menyaksikan pencapaian luar biasa para atlet akuatik terbaik di dunia," kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur Singapura 2025, yang juga bekas perenang negara, Mark Chay.

Presiden World Aquatics, Kapten Husai Al-Musallam memuji Singapura sambil menyifatkan negara ini sebagai "tuan rumah yang sangat cemerlang" dalam penganjuran acara-acara World Aquatics.

"Sebagai edisi pertama Kejohanan Akuatik Dunia yang diadakan di Asia Tenggara, acara ini merupakan satu pencapaian penting bagi sukan kami."

Beliau menambah pertubuhannya berbangga kerana mempunyai "rakan kongsi yang kukuh dan diyakini di rantau penting di dunia".

REKOD DI SINGAPURA 2025

Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura menyaksikan lebih 10 rekod kejohanan tercapai, termasuk tiga rekod dunia.

Atlet Perancis, Leon Marchand, memecahkan rekod dunia bagi acara 200m individu rampaian lelaki dengan masa 1:52.69 dalam pusingan separuh akhir, manakala pasukan Amerika Syarikat memecahkan rekod dunia bagi acara 4x100 meter gaya bebas berganti-ganti campuran.

Pasukan Amerika Syarikat juga memecahkan rekod dunia sendiri dalam acara 4x100 meter berganti-ganti rampaian wanita dengan masa 3:49.34, mengatasi rekod terdahulu 3:49.63 yang dicatatkan di Paris pada tahun lalu.

Atlet Jerman, Florian Wellbrock, menguasai acara renang di perairan Sentosa dan menjadi atlet pertama yang merangkul empat pingat emas dalam acara itu di kejohanan berkenaan.

Sementara itu, China mendahului pungutan pingat dengan 15 pingat emas, 12 pingat perak dan 10 pingat gangsa dalam enam acara.

Ia disusuli dengan Australia yang membawa pulang 13 pingat emas, tujuh pingat perak, lapan pingat gangsa, dan Amerika Syarikat dengan 10 pingat emas, 11 pingat perak dan 11 pingat gangsa.

PASUKAN SINGAPURA

Pasukan Singapura pula mencipta pelbagai detik bersejarah dengan penyertaan jumlah atlet tertinggi sejauh ini.

Seramai 72 atlet termasuk 30 atlet baharu mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

Perenang Singapura, Gan Ching Hwee memecahkan tiga rekod kebangsaan dalam dua hari menerusi acara 400 meter, 800 meter dan 1,500 meter gaya bebas wanita.

Beliau juga adalah perenang wanita Singapura pertama sejak 2007 yang berjaya mara ke peringkat akhir di Kejohanan Akuatik Dunia, selepas menduduki tangga keempat dalam pusingan saringan 1,500 meter gaya bebas wanita.

Gan mendapat tempat ketujuh dalam perlumbaan akhir acara tersebut.

Sementara itu, atlet muda berusia 14 tahun, Ainslee Kwang, mencipta sejarah sebagai atlet terjun cantik Singapura pertama yang mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Akuatik Dunia selepas mencatat markah peribadi terbaik 285 dalam acara platform 10 meter wanita.

Pasukan polo air lelaki Singapura pula membuat penampilan sulungnya di Kejohanan Dunia, dan menamatkan saingan di tempat ke-15.

Perenang Singapura turut muncul sebagai atlet terbaik Asia Tenggara dalam beberapa kategori renang terbuka.

Chantal Liew dan Kate Ona masing-masing menjadi perenang terbaik Asia Tenggara dalam acara renang 10 kilometer dan lima kilometer wanita, manakala rakan sepasukan mereka, Artyom Lukasevits, muncul perenang terbaik Asia Tenggara dalam acara renang 10 kilometer lelaki.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita