Skip to main content

Sukan

SG tundukkan Bangladesh 1-0, tamat kempen kelayakan Piala Asia tanpa kalah

Pasukan Singa membolot tiga mata pada Selasa (31 Mac) di Stadium Negara apabila ia mengalahkan Bangladesh 1-0 untuk menamatkan kempen kelayakan Piala Asia mereka tanpa sebarang kekalahan.

Anggaran Waktu Membaca:
SG tundukkan Bangladesh 1-0, tamat kempen kelayakan Piala Asia tanpa kalah

Pemain Singa Ikhsan Fandi berdepan pemain dari pasukan Bangladesh. (Gambar: CNA/Matthew Mohan)

Diterbitkan : 31 Mar 2026 11:15PM Dikemas Kini : 31 Mar 2026 11:16PM
SINGAPURA: Pasukan Singa membolot tiga mata pada Selasa (31 Mac) di Stadium Negara apabila ia mengalahkan Bangladesh 1-0 untuk menamatkan kempen kelayakan Piala Asia mereka tanpa sebarang kekalahan.

Gol separuh masa pertama jaringan Harhys Stewart memastikan anak didik Gavin Lee menjuarai kumpulan kelayakan mereka dengan 14 mata hasil empat kemenangan dan dua keputusan seri.

Sebelum perlawanan itu, Singapura menempah kelayakan ke Piala Asia selepas mengalahkan Hong Kong 2-1 di padang lawan pada November lalu.

Di hadapan kira-kira 30,000 penonton, kedua-dua pasukan bergelut untuk terus mengekalkan penguasaan bola pada awal permainan.

Pasukan Singa kelihatan bergantung pada pemain sayap untuk menghantar bola kepada penyerang Ikhsan Fandi, dan Ryhan Stewart melakukan demikian selepas 20 minit perlawanan, tetapi hantaran lintangnya ditolak keluar oleh penjaga gol Bangladesh Shakil Topu.

Namun sebaik sahaja pasukan Singa kelihatan bermain dengan rentak perlahan, mereka berjaya memperoleh gol mereka.

Hantaran silang merentasi padang disambut Glenn Kweh dan walaupun tendangannya ditolak keluar, Harhys Stewart tidak melepaskan peluang untuk tampil ke hadapan dan menyumbatkan gol ke dalam gawang.

Pada satu ketika dalam perlawanan, hadangan hebat daripada Safuwan Baharudin menyaksikan percubaan pertama Bangladesh diselamatkan, tetapi terdapat rayuan untuk tendangan penalti selepas dia dilihat menjatuhkan penyerang Bangladesh yang cuba menyambar bola muntah itu.

Namun, pengadil Benjamin Abraham tidak terpengaruh.

Pasukan Bangladesh terus dilihat semakin menguasai perlawanan, dan Izwan Mahbud berjaya menangkap bola dengan kemas pada minit ke-51.

Ilhan kemudian menjaringkan bola ke dalam gawang pada pertengahan separuh masa kedua tetapi didapati 'offside'.

Peluang terbaik Bangladesh pada malam itu datang pada minit ke-79, namun tendangan Mirajul Islam melantun pada tiang gol.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita