Skip to main content

Sukan

SG sertai edisi sulung Piala ASEAN FIFA, bakal berdepan Indonesia, Malaysia dan India

Pasukan Singapura akan beraksi dalam edisi sulung Piala ASEAN FIFA hujung tahun ini, menurut pengesahan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Khamis (30 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
SG sertai edisi sulung Piala ASEAN FIFA, bakal berdepan Indonesia, Malaysia dan India

Para pemain Singapura beraksi dalam Kejohanan ASEAN menentang Timor-Leste pada 27 Julai 2026. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 30 Jul 2026 02:46PM
  • Pasukan bola sepak Singapura akan menyertai edisi pertama Piala ASEAN FIFA, seperti disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 30 Julai.
  • Kejohanan ini berlangsung dari 24 September hingga 3 Oktober, dengan perlawanan kumpulan Singapura diadakan di Indonesia bersama pasukan Indonesia, India dan Malaysia.
  • Piala ini diwujudkan hasil kerjasama FIFA dan ASEAN untuk memperkukuh pembangunan bola sepak serantau, dengan format dua divisyen dan beberapa kumpulan.
  • Pihak FAS dan jurulatih Gavin Lee berharap kejohanan ini dapat memberi pengalaman, meningkatkan prestasi pasukan serta menyatukan rakyat melalui bola sepak.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Pasukan Singapura akan beraksi dalam edisi sulung Piala ASEAN FIFA hujung tahun ini, menurut pengesahan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Khamis (30 Jul).

Singapura akan berdepan Indonesia, India dan Malaysia dalam Kumpulan A, dengan semua perlawanan peringkat kumpulan berlangsung di Indonesia.

Kejohanan itu dijadual berlangsung dari 24 September hingga 3 Oktober mengikut kalendar rasmi perlawanan antarabangsa FIFA.

Pada Oktober 2025, ia diumumkan bahawa kejohanan tersebut akan diperkenalkan hasil kerjasama antara FIFA dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) bagi merancakkan pembangunan bola sepak di rantau ini.

Pengumuman itu dibuat semasa Sidang Puncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, apabila Presiden FIFA Gianni Infantino dan Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn menandatangani satu memorandum persefahaman yang diperbaharui.

FORMAT KEJOHANAN

Sebanyak 14 pasukan akan dibahagikan kepada dua divisyen iaitu Divisyen Premier (Divisyen 1) dan Divisyen Cabaran (Divisyen 2).

Divisyen Premier terdiri daripada dua kumpulan yang masing-masing dianggotai empat pasukan, dengan Kumpulan B pula terdiri daripada Vietnam, Thailand, Filipina dan Pakistan.

Divisyen Cabaran pula dibahagikan kepada dua kumpulan yang masing-masing dianggotai tiga pasukan.

Hong Kong, Myanmar dan Brunei berada dalam Kumpulan A, manakala Kemboja, Laos dan Timor-Leste dalam Kumpulan B.

Semua perlawanan Divisyen Cabaran akan berlangsung di Hong Kong.

Selepas format "round-robin" di peringkat kumpulan, juara bagi setiap kumpulan dalam setiap divisyen akan mara ke perlawanan akhir divisyen masing-masing.

"Kami mengalu-alukan peluang untuk menyertai kejohanan seperti ini kerana ia menyumbang kepada pembangunan bola sepak Singapura secara lebih meluas," kata Setiausaha Agung FAS, Badri Ghent.

"Ia membantu memberikan inspirasi kepada generasi baharu, mengukuhkan hubungan rakyat Singapura dengan pasukan negara dan memperkukuh budaya bola sepak yang sedang kami bina untuk masa depan. Dari masa ke masa, pengalaman seperti ini akan mewujudkan lebih banyak detik yang menyatukan rakyat Singapura menerusi sukan ini."

Pengumuman itu dibuat ketika Piala Hyundai Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) masih berlangsung. Kejohanan tersebut telah menjadi acara tetap dalam kalendar bola sepak rantau ini sejak beberapa dekad lalu.

Ketua jurulatih Lions, Gavin Lee, berkata kejohanan baharu itu akan memberi pasukannya "satu lagi peluang untuk menguji kemampuan kami dan menilai kedudukan pasukan ketika ini".

"Kami telah menunjukkan kemajuan, tetapi kami sedar masih banyak yang perlu diperbaiki. Setiap kesempatan dalam perlawanan antarabangsa memberi kami peluang untuk meningkatkan mutu permainan, terus berkembang dan menjadi lebih konsisten," kata beliau.

"Itulah cabaran yang kami tetapkan untuk diri sendiri dan tumpuan kami adalah untuk memanfaatkan setiap peluang untuk terus berkembang sebagai sebuah pasukan."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita