Skip to main content

Sukan

SG perlu ubah pemikiran untuk lahirkan lebih ramai atlet paralimpik unggul: Yip Pin Xiu

Anggaran Waktu Membaca:
SG perlu ubah pemikiran untuk lahirkan lebih ramai atlet paralimpik unggul: Yip Pin Xiu

Perenang Singapura Yip Pin Xiu menang pingat emas dalam acara kuak lentang 50m S2 di Olimpik Paris pada 31 Ogos 2024. (Gambar: SportSG/Eng Chin An)

PARIS: Perenang paralimpik Singapura yang sudah enam kali merangkul pingat emas, Yip Pin Xiu, percaya Singapura perlu mengubah tanggapan mengenai bagaimana masyarakat melihat golongan kurang upaya agar akan ada lebih ramai yang mampu meraih pencapaian seperti dirinya.

Ini bagaimanapun akan turut memerlukan rakyat Singapura mengubah budaya dari segi melihat sukan sebagai satu laluan kerjaya yang berdaya maju, kata Yip lagi.

Atlet itu berkongsi buah fikirannya itu dalam satu wawancara di Paris di mana beliau mengimbas kembali kerjayanya dalam sukan renang selama 20 tahun.

"Saya terhutang budi kepada sukan renang. Saya rasa apabila saya masih lagi kecil, membesar sebagai seorang individu kurang upaya bukanlah perkara biasa. Ia membuat saya menjadi seorang yang pemalu dan tidak mempunyai keyakinan diri," cerita Yip.

Namun beliau akur dirinya berubah apabila mula berenang.

"Bukan sahaja bagi kanak-kanak kurang upaya, tetapi sukan secara umumnya benar-benar akan banyak mengajar anda. Mengajar anda untuk berdaya bingkas. Mengajar anda tentang saling hormat-menghormati, dan bahkan tepat pada masa, kekal komited dan terus berada di landasan," ujar Yip lagi.

Yip kemudian ditanya penerbit tentang siapa agaknya yang boleh menjadi Yip Pin Xiu "seterusnya".

Ini jawapan spontan beliau: "Saya rasa mencari Yip Pin Xiu yang seterusnya akan agak sukar."

Beliau khususnya berkata demikian kerana percaya rakyat Singapura masih perlu mengubah tanggapan terhadap bidang sukan.

"Kita tidak meletakkan penekanan berat terhadap sukan dalam kehidupan tetapi saya berharap ini akan berubah dalam beberapa tahun akan datang," jelasnya sambil merujuk kepada kawasan Kallang Alive yang diumumkan dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan pada bulan lalu.

Usaha itu disifatkan Yip sebagai sesuatu yang akan menyediakan "lebih banyak kemudahan dan peluang buat orang ramai".

"Saya benar-benar berharap rakyat Singapura akan mula menyedari sukan, seperti kerjaya dalam sukan atau sukan itu sendiri, mampu berdaya maju. Meluangkan lebih banyak masa dan usaha dalam sukan juga, walaupun bukan pada peringkat kompetitif, penting buat kesihatan anda," kata Yip lagi.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita