Skip to main content

Sukan

SG optimis kolam renang sementara Kejohanan Akuatik Dunia dapat kekal untuk seketika

Pihak berkuasa bersikap optimis bahawa kemudahan sementara yang akan digunakan bagi beberapa acara di Kejohanan Akuatik Dunia dapat dikekalkan untuk beberapa waktu, kata ketua eksekutif Sport Singapore, Alan Goh pada Khamis (10 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
SG optimis kolam renang sementara Kejohanan Akuatik Dunia dapat kekal untuk seketika

(Dari kanan) Pengerusi bersama jawatankuasa penganjur Singapore 2025, Mark Chay, Ketua Pegawai Eksekutif Sport Singapore, Alan Goh, Presiden World Aquatics Husain Al Musallam dan Pengarah Eksekutif World Aquatics, Brent Nowicki pada sidang media pada 10 Julai, 2025. (Gambar: CNA/Lim Li Ting)

SINGAPURA: Pihak berkuasa bersikap optimis bahawa kemudahan sementara yang akan digunakan bagi beberapa acara di Kejohanan Akuatik Dunia dapat dikekalkan untuk beberapa waktu, kata ketua eksekutif Sport Singapore, Alan Goh pada Khamis (10 Jul).

Bercakap di sidang media pembukaan acara itu, Encik Goh memberi gambaran paling jelas sejauh ini bahawa kemudahan yang dibina di kawasan tempat letak kereta bersebelahan pusat beli-belah Leisure Park Kallang itu akan dibuka bagi kegunaan orang ramai.

"Memang benar, kami bermula dengan membina kolam renang sementara, sekali lagi mengambil rujukan daripada beberapa edisi Kejohanan Akuatik Dunia sebelumnya," kata Encik Goh, yang juga pengerusi bersama kejohanan itu bersama dengan bekas atlet Olimpik, Mark Chay.

"Namun sedang kami mengembangkan projek itu, kami mula memikirkan sama ada ia berbaloi untuk cuba meneroka cara-cara mengekalkan kolam renang itu selepas kejohanan itu berakhir. Dan setakat ini, ia kelihatan positif."

Walaupun beliau tidak mengesahkan rancangan itu, Encik Goh berkata pihak berkuasa berharap rakyat Singapura juga dapat meraih manfaat daripada arena kolam renang itu.

"Kami akan memberikan pengesahan apabila ia sudah bersedia, tetapi saya akan katakan ... selepas membina sebuah kemudahan yang hebat untuk menganjur acara kejohanan akuatif bertaraf dunia, kami memang berharap dapat mengekalkannya lebih lama sedikit supaya rakyat Singapura juga dapat memanfaatkannya," katanya.

Kejohanan Akuatik Dunia akan berlangsung di Singapura dari 11 Julai hingga 3 Ogos, dengan ia dijangka dihadiri oleh kira-kira 40,000 pelawat antarabangsa - terdiri daripada para penonton, atlet, pegawai, kru produksi dan media.

'KEMUDAHAN YANG HEBAT'

Bercakap pada Khamis, Presiden Akuatik Dunia Husain Al Musallam mengucapkan terima kasih kepada para penganjur atas 'kerja keras mereka'.

"Singapura adalah negara pertama di Asia Tenggara yang menjadi tuan rumah Kejohanan Akuatik Dunia, dengan kemudahan yang sangat baik. Dan kemudahan ini (adalah) sambungan kepada legasi Sukan Olimpik Belia pada 2010," katanya.

Encik Al Musallam menambah, badan renang dunia itu menekankan bahawa lokasi bagi kejohanan itu harus "sesuai" bagi keperluan teknikal serta kapasiti tempat duduk haruslah "berdasarkan pengalaman" yang dijangkakan oleh negara tuan rumah.

Singapura dipilih sebagai tuan rumah kejohanan itu selepas acara dwitahunan itu dialihkan dari bandar Kazan di Rusia susulan tindakan Rusia menceroboh Ukraine.

Kejohanan itu menampilkan enam acara renang iaitu polo air, terjun cantik, renang artistik, renang air terbuka dan terjun tinggi.

Antara nama-nama besar yang dijangka merebut pingat emas di Singapura adalah atlet renang dari Amerika, Katie Ledecky, atlet muda dari Perancis Leon Marchand dan atlet renang dari Kanada yang berusia 18 tahun, Summer Mcintosh.
Sumber : CNA/NI/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita