Skip to main content

Sukan

SG bakal jadi tuan rumah Kejohanan Renang Paralimpik Dunia 2025

Anggaran Waktu Membaca:
SG bakal jadi tuan rumah Kejohanan Renang Paralimpik Dunia 2025

Gambar: Singapore Disability Sports Council/Jon Super/SportsNewsAgency

SINGAPURA: Singapura bakal menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Renang Paralimpik Dunia 2025.

Ini sekali gus julung-julung kalinya sukan temasya tersebut dianjurkan di Asia.

Demikian diumumkan Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC) pada Isnin (5 Feb).

Kejohanan tersebut merupakan acara renang peringkat tertinggi di luar Sukan Paralimpik. Ia bakal berlangsung di Pusat Akuatik OCBC di Hab Sukan Singapura dari 3 hingga 9 Oktober 2025.

"Ini merupakan pencapaian besar bagi sukan kami dan juga bukti kemajuan dalam sukan renang paralimpik di negara ini dan rantau ini," kata Encik Craig Nicholson, ketua Renang Paralimpik Dunia.

SDSC menyatakan bahawa sukan renang paralimpik merupakan "kubu kuat yang konsisten" bagi Singapura, yang melahirkan pemenang pingat Paralimpik dan pemegang rekod dunia seperti Yip Pin Xiu dan Theresa Goh.

Acara yang akan berlangsung pada 2025 itu, merupakan edisi ke-12 kejohanan tersebut.

Perenang Yip Pin Xiu merupakan atlit Singapura yang paling banyak meraih pingat di Kejohanan Renang Paralimpik Dunia.

Beliau berjaya merangkul dua pingat emas dalam setiap tiga edisi terakhir kejohanan: Pada 2019, 2022 - apabila acara itu ditangguhkan akibat pandemik - dan 2023.

"Saya tidak pernah membayangkan satu hari nanti kami akan dapat mempamerkan sukan renang paralimpik ke tahap ini di Singapura," ujar Yip.

Sementara itu, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong menyifatkan ini sebagai "pencapaian penting bagi masyarakat sukan kurang upaya di Singapura".

"Ia akan membolehkan atlit-atlit Team Singapore kami untuk bersaing dengan perenang paralimpik terunggul di dunia di tanah air kita sendiri, dan memberi inspirasi kepada rakyat Singapura, sedang mereka menyaksikan pertandingan itu dengan lebih dekat," tambah beliau.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita