Skip to main content

Sukan

SG bakal berdepan juara bertahan Vietnam dalam kejohanan bola sepak ASEAN 2026

Singapura akan berdepan juara bertahan Vietnam dalam peringkat kumpulan Piala ASEAN Hyundai yang akan datang, menurut penganjur kejohanan itu pada Khamis (15 Jan).
Anggaran Waktu Membaca:
SG bakal berdepan juara bertahan Vietnam dalam kejohanan bola sepak ASEAN 2026
Pemain Singapura Hariss Harun mengejar Nguyen Hoang Duc dari Vietnam semasa perlawanan separuh akhir Kejohanan ASEAN 2024 di Stadium Viet Tri, wilayah Phu Tho, Vietnam, pada 29 Disember 2024. (Gambar fail: CNA/Matthew Mohan)
SINGAPURA: Singapura akan berdepan juara bertahan Vietnam dalam peringkat kumpulan Piala ASEAN Hyundai yang akan datang, menurut penganjur kejohanan itu pada Khamis (15 Jan).

Pasukan Singa juga akan menentang Indonesia, Kemboja serta juara perlawanan saringan antara Brunei dengan Timor-Leste dalam Kumpulan A kejohanan tersebut.

Undian rasmi bagi kejohanan serantau dwitahunan itu berlangsung di Jakarta pada Khamis.

Piala ASEAN Hyundai 2026 – edisi ke-16 Kejohanan ASEAN – akan berlangsung pada 24 Julai hingga 26 Ogos, dengan perlawanan peringkat kumpulan dimainkan sebagai liga pusingan tunggal, di padang sendiri atau lawan.

Satu lagi kumpulan, Kumpulan B, terdiri daripada Thailand, Malaysia, Filipina, Myanmar dan Laos.

Brunei akan menjadi tuan rumah perlawanan pertama pusingan saringan di padang sendiri atau padang lawan dengan Timor-Leste pada 2 Jun, manakala Timor-Leste akan menganjurkan perlawanan kedua pada 9 Jun.

Dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir yang akan dimainkan di padang sendiri dan lawan, dengan perlawanan pertama dimainkan pada 15 dan 16 Ogos, manakala perlawanan kedua akan berlangsung pada 18 dan 19 Ogos.

Peringkat akhir melibatkan dua perlawanan, yang juga akan dimainkan di padang sendiri dan lawan, akan diadakan pada 22 dan 26 Ogos.

Ketua jurulatih pasukan Singa, Gavin Lee, memberitahu Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Khamis bahawa undian tersebut membuka peluang besar untuk perkembangan pasukan.

“Keutamaan kami adalah untuk menumpukan perhatian kepada diri sendiri, membuat persiapan rapi, dan memastikan para pemain bersedia memasuki setiap perlawanan dengan tekad untuk menang,” katanya.

“Kejohanan ini merupakan bahagian penting dalam persiapan kami menuju ke Piala Asia, memberi kami peluang untuk menguji diri menentang lawan yang kuat dalam keadaan yang mencabar, sambil membina pengalaman yang diperlukan untuk bersaing di peringkat tertinggi.

“Kerja-kerja persiapan bermula sekarang.”

Kapten Pasukan Singa, Hariss Harun, memberitahu FAS bahawa pasukan itu “tidak sabar untuk bermula” dan mahu melihat sejauh mana mereka mampu melangkah.

“Rakyat Singapura sentiasa bersama kami, dan kami mahu terus membanggakan mereka dengan mempamerkan semangat juang dan kebersamaan di atas padang,” kata beliau.

Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Khiev Sameth, berkata undian itu menonjolkan “peningkatan kualiti, daya saing dan aspirasi bola sepak” di seluruh Asia Tenggara.

“Bersandarkan sokongan dan pelibatan kukuh dalam edisi-edisi terdahulu, AFF kekal komited untuk terus meningkatkan tahap dan jangkauan kejohanan ini,” tambah beliau.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-30 Kejohanan ASEAN.

Thailand merupakan negara yang paling berjaya dalam sejarah pertandingan itu, setelah dinobatkan sebagai juara Asia Tenggara sebanyak tujuh kali.

Kumpulan Singa pernah menjuarai Kejohanan ASEAN sebanyak empat kali – pada 1998, 2004, 2007 dan 2012.

Mereka tersingkir di peringkat separuh akhir pada edisi lalu selepas kalah 5-1 secara agregat kepada juara akhirnya, Vietnam.

Hyundai merupakan penaja utama keempat Kejohanan ASEAN, selepas Mitsubishi Electric, Suzuki dan Tiger Beer.

Konglomerat Korea Selatan itu diumumkan sebagai rakan penaja baharu kejohanan tersebut pada Mei lalu.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita