SG bakal berdepan Brazil, Paraguay dalam perlawanan persahabatan di Stadium Negara pada Nov 2026
Stadium Negara akan menjadi tuan rumah bagi perlawanan persahabatan melibatkan Brazil, Paraguay, Jepun dan Singapura, menurut satu pengumuman yang dibuat pada Khamis (3 Sep).
Pemain Brazil Lucas Paqueta beraksi menentang pemain Jepun Ritsu Doan. (Gambar: Imagn Images/Troy Taormina menerusi REUTERS)
Dalam satu kenyataan media bersama, The Kallang Group dan Dentsu Sports International (DSI) memaklumkan empat perlawanan akan berlangsung sepanjang tiga hari, dari 13 hingga 17 November, semasa jendela rasmi perlawanan antarabangsa FIFA.
Sebagai sebahagian daripada edisi sulung Mizuho Blue Challenge - The Kallang Football Series Singapore, pasukan Singa akan berdepan Paraguay terlebih dahulu pada 13 November.
Jepun akan menentang Brazil pada keesokan harinya.
Dua perlawanan akan berlangsung pada 17 November, dengan Singapura menentang Brazil terlebih dahulu, disusuli pertemuan antara Jepun dengan Paraguay.
Harga tiket bagi perlawanan pembukaan antara Singapura dengan Paraguay bermula dari S$28, manakala tiket bagi perlawanan Jepun menentang Brazil bermula dari S$98.
Bagi dua perlawanan pada 17 November, para peminat boleh menyaksikan kedua-duanya dengan satu tiket, dengan harga permulaan pada S$98.
Tiket bagi perlawanan-perlawanan tersebut akan mula dijual pada Jumaat.
Dalam ranking FIFA terkini, Brazil menduduki tangga kelima di dunia, manakala Jepun berada di tempat ke-17 dan Paraguay di tangga ke-34.
Kejohanan tersebut akan menjadi sebahagian daripada persiapan Singapura bagi Piala Asia AFC pada tahun depan.
"Kami teruja dengan sebarang peluang untuk berdepan pasukan yang kuat. Perlawanan seperti ini amat berharga bagi kami kerana ia menguji kemampuan kami dan menunjukkan tahap kami pada masa ini. Lebih penting lagi, ia menunjukkan aspek yang masih perlu kami perbaiki," kata ketua jurulatih Singapura Gavin Lee.
"Kami sudah menunjukkan kemajuan yang baik, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan, dan setiap perlawanan yang kami harungi sekarang adalah untuk membantu kami membuat persiapan bagi Piala Asia."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.