Skip to main content

Sukan

Senarai awal lebih 250 atlet diumumkan untuk mewakili SG di Sukan Asia 2026

Anggaran Waktu Membaca:
Senarai awal lebih 250 atlet diumumkan untuk mewakili SG di Sukan Asia 2026

Pelari pecut Singapura Shanti Pereira meraikan kemenangannya dalam acara 200 meter di Sukan Asia di Hangzhou, China pada 2 Oktober 2023. (Gambar: SportSG/Bryan Foo)

Diterbitkan : 02 Jun 2026 08:23PM Dikemas Kini : 02 Jun 2026 08:24PM
SINGAPURA: Seramai 256 atlet daripada 23 bidang sukan sudah diumumkan dalam senarai awal mereka yang dipilih untuk mewakili Singapura di Sukan Asia akan datang di Jepun.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa (2 Jun), Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) mengumumkan kumpulan pertama atlet dan pasukan yang dipilih untuk mewakili Singapura di Sukan Asia Aichi-Nagoya, yang akan berlangsung dari 19 Sep hingga 4 Okt.

"Terdapat 115 atlet yang telah memenuhi kelayakan Sukan Asia yang ditetapkan oleh pihak penganjur, dan 141 atlet yang tidak perlu memenuhi kelayakan tersebut – kedua-dua kumpulan atlet sudah memenuhi syarat kelayakan Jawatankuasa Pilihan SNOC," menurut majlis itu.

Juara 200 meter Sukan Asia, Shanti Pereira dan atlet sukan layar, Ryan Lo, bakal mempertahankan gelaran mereka.

Mereka disertai Loh Kean Yew, yang pada hujung minggu lalu muncul sebagai naib juara di kejohanan Terbuka Badminton Singapura, serta rakan sepasukannya Yeo Jia Min.

Perenang adik-beradik Quah Zheng Wen, Quah Ting Wen dan Quah Jing Wen turut dipilih, selain Julia Yeo, yang menarik perhatian di Sukan SEA Disember lalu dan bakal tampil buat kali pertama di temasya Sukan Asia.

Namun, juara dunia dan pemenang pingat gangsa Olimpik Max Maeder tidak akan mempertahankan pingat emasnya dalam Sukan Asia di Jepun, kerana kitefoiling bukan antara acara sukan yang tersenarai.

Pelari maraton Soh Rui Yong juga tidak tersenarai, manakala pasukan bola sepak lelaki dan wanita bawah usia 22 tahun tidak disertakan.

Persatuan Bola Sepak Singapura menyatakan pada bulan Februari bahawa kedua-dua pasukan bolasepak Singa Muda tidak akan diwakili di Jepun, berikutan pelaksanaan kriteria kelayakan oleh penganjur Sukan Asia yang sudah disahkan oleh AFC dan Majlis Olimpik Asia.

Acara bola sepak itu adalah pertandingan mengikut kategori umur, dan ketiadaan Singapura tidak menjejaskan penyertaan pasukan Singa dalam Piala Asia 2027 di Arab Saudi, yang mereka telah pun layak sertai.

Pada 2023, sebagai respons kepada pertanyaan daripada Mediacorp mengenai pengecualian Soh daripada barisan Sukan Hangzhou, SNOC menyatakan bahawa jawatankuasa rayuannya telah mempertimbangkan pencalonan Soh oleh badan Atletik Singapura dan memutuskan untuk tidak memilihnya.

Antara sebab yang disebut ialah kegagalan Soh untuk "menunaikan komitmen yang telah diberikannya kepada SNOC, termasuk dalam beberapa keadaan selepas penyertaannya di Sukan SEA Kemboja 2023". Ia turut menyatakan terdapat kenyataan beliau di ruang awam yang bersifat memperlekeh dan menghina pihak lain.

Mengenai edisi ke-20 Sukan Asia, SNOC menyatakan ia "memberi peluang kepada Pasukan Singapura untuk bersaing dengan yang terbaik di Asia, di salah satu pentas sukan utama benua ini".

Ia menambah bahawa "beberapa atlet dan pasukan masih dalam pertimbangan", sedang mereka berusaha untuk memenuhi syarat-syarat kelayakan sedia ada.

"Bagi sesetengah acara, persatuan-persatuan sukan kebangsaan (NSA) akan membuat pemilihan dan memutuskan senarai muktamad anggota pasukan mereka daripada atlet yang layak terlebih dahulu."

Menurut SNOC, beberapa NSA sedang menunggu keputusan perlawanan yang akan datang, yang baru sahaja terlepas daripada tarikh akhir yang ditetapkan.

NSA yang berhasrat untuk merayu bagi atlet yang tidak dipilih dalam fasa pertama ini mesti berbuat demikian pada akhir bulan ini, melalui proses rayuan yang telah ditetapkan.

Mediacorp difahamkan bahawa atlet yang tidak disertakan dalam senarai pilihan awal berpeluang dipilih menjelang akhir bulan ini.

Kontinjen muktamad untuk Sukan Aichi-Nagoya 2026 akan disahkan dan diumumkan menjelang temasya sukan yang diadakan setiap empat tahun itu, selepas proses penyertaan mengikut nama yang ditetapkan oleh penganjur Sukan tersebut selesai.

Pasukan Singapura berjaya merebut 16 pingat - tiga emas, enam perak dan tujuh gangsa - di Sukan Hangzhou 2023.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita