Skip to main content

Sukan

Semangat juang pasukan Singa tambat hati rakyat S’pura, kata DPM Heng

Sungguhpun tidak mara ke perlawanan peringkat akhir Piala AFF Suzuki 2020, pasukan bola sepak negara tetap 'menang besar' pada Sabtu malam (25 Dis), semangat kesukanan mereka berjaya menambat hati rakyat Singapura.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Semangat juang pasukan Singa tambat hati rakyat S’pura, kata DPM Heng

Pemain negara Safuwan Baharudin dibuang padang semasa perlawanan kedua peringkat separuh akhir Piala AFF Suzuki 2020 menentang Indonesia di Staidum Negara Singapura pada 25 Dis 2020. (Gambmar: Matthew Mohan/CNA)

Diterbitkan : 26 Dec 2021 03:48PM Dikemas Kini : 26 Dec 2021 04:47PM

SINGAPURA: Sungguhpun tidak mara ke perlawanan peringkat akhir Piala AFF Suzuki 2020, pasukan bola sepak negara tetap 'menang besar' pada Sabtu malam (25 Dis), semangat kesukanan mereka berjaya menambat hati rakyat Singapura.

Demikian puji Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam satu catatan Facebook hari ini (26 Dis).

Singapura tumpas 2-4 kepada Indonesia dalam perlawanan kedua peringkat separuh akhir di Stadium Negara semalam.

"Kita melihat Semangat Singapura membara. Kepada para pemain, jurulatih dan setiap orang yang bertugas di belakang tabir, kami amat bangga dengan anda. (Saya) menantikan untuk menyaksikan pasukan itu beraksi lagi tidak lama lagi! Majulah Singapura!," tulis Encik Heng.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong juga merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan Singa atas usaha gigih mereka sepanjang Piala AFF Suzuki 2020.

Ini adalah kali pertama sejak 2012 pasukan bola sepak kebangsaan berjaya ke pusingan separuh akhir, kata PM Lee


"Meskipun kalah di tangan Indonesia, mereka bertarung dengan handal dan mempamerkan semangat luar biasa, mendirikan benteng pertahanan yang kukuh walau berdepan rintangan," tulis PM Lee di Facebooknya.

"Satu usaha yang menakjubkan oleh pasukan itu! Kami semua berbangga dengan anda!," beliau mengakhiri catatan ringkasnya.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) turut memuji pasukan negara atas perlawanan hebat yang ditonjolkan mereka.

"Pasukan Singa, termasuk tiga anggota Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa - Muhammad Hami Syahin Said, Muhammad Zulqarnaen Suzliman dan Ilhan Fandi Ahmad, yang diberikan pelepasan dari NS untuk berlatih dan berlawan dalam Piala Suzuki - mara ke peringkat separuh akhir buat kali pertama dalam masa sembilan tahun," menurut MINDEF di Facebooknya.

Ia menambah, prestasi menonjol pasukan negara itu membangkitkan rasa bangga rakyat Singapura.

"Kami akan terus menyokong anda, maju Lions!"

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita