“Saya tidak menyesal,” kata Soh Rui Yong mengenai kontroversi terhadap kerjayanya
Soh Rui Yong percaya beliau sudah banyak berubah sebagai seorang individu - dan mendirikan rumah tangga pada 2023 juga telah mendewasakannya.

Atlet Singapura, Soh Rui Yong, beraksi dalam acara 10,000m lelaki di Sukan SEA pada 11 Mei 2023. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
"Apabila anda berkahwin, anda boleh berubah secara positif, tetapi kadangkala anda tetap akan melakukan kesilapan," kata pelari maraton yang merupakan antara atlet terhebat di Singapura dan juga yang paling lantang bersuara.
"Kadang-kadang ... jauh di lubuk hati anda, anda tahu anda mungkin tidak bersalah. Tetapi selepas berkahwin dan hidup serumah dengan orang lain, anda akan mengangkat tangan anda dan (berkata) 'Ini salah saya. Saya akan menanggung padahnya'."
Pendekatan lembut seperti itu mungkin kelihatan, pada pandangan pertama, mencabar apa yang sudah diketahui tentang Soh sepanjang kerjaya sukannya yang menjangkau sedekad.
Selain meraih tiga pingat Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) dan pelbagai rekod nasional, beliau terpalit dengan kontroversi termasuk tindakan undang-undang, catatan media sosial yang memecahbelahkan masyarakat sukan dan pengecualian daripada bertanding dalam acara-acara sukan yang besar.
Soh tidak disertakan dalam senarai awal untuk Sukan SEA akan datang - dengan atlet berusia 34 tahun itu berkata beliau tidak merasakan ada sesuatu yang perlu dikesali.
"Dalam hidup ini, jangan menyesal... keputusan yang anda buat 10 tahun lalu - apa gunanya menyesal? Anda tidak boleh mengubahnya," katanya kepada Mediacorp dalam temu bual maya selama sejam dari Britain, tempat di mana Soh berpangkalan sekarang.
Soh berkata bahawa disebabkan oleh tajuk berita dan insiden baru-baru ini, "tiada siapa yang akan melupakan saya sebagai seorang atlet Singapura".
"Dan itulah pandangan saya secara jujur, tanpa kelihatan bongkak atau angkuh."
Soh turut membandingkan dirinya dengan atlet-atlet lain yang memenangi pingat yang katanya cepat dilupakan kerana "tidak ada apa-apa untuk dibincangkan" sehinggalah mereka bertanding semula.
"Tetapi nama saya terus muncul, dan kerana itu, ironisnya, saya berada dalam situasi ini di mana orang akan mengingati saya baik atau buruk."
Dan Soh berhasrat untuk terus mencipta memori dan pencapaian baharu.
Soh sudahpun mula merancang untuk Sukan SEA 2029 yang bakal diadakan di Singapura - dan Soh akan berusia 38 tahun pada masa itu - dan beliau berhasrat untuk terus memenangi Marathon Singapura, sekurang-kurangnya sehingga beliau berusia 40 tahun.
"Anda tidak akan melihat saya hilang begitu sahaja," katanya lagi.
Soh pertama kali mendapat perhatian ramai pada 2015 setelah memenangi pingat emas maraton dalam Sukan SEA sulungnya dan di tanah airnya sendiri.
Soh mengulangi kejayaan itu pada 2017 di Kuala Lumpur, walaupun hampir ditendang daripada pasukan Team Singapore kerana melanggar peraturan Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) yang melarang atlet negara mempromosikan penaja peribadi di media sosial.

Soh juga tidak berjaya menyaman bekas pengarah Singapore Athletics atas tuduhan memfitnah.
Soh tidak dipilih untuk Sukan SEA 2019 mahupun 2022, atas faktor seperti tingkah laku yang dipetik oleh SNOC.
Walaupun pada mulanya Soh juga diketepikan daripada pertandingan serantau edisi 2023, Soh memenangi rayuan dan berhasil memperolehi pingat perak dalam acara 10,000m.
Lewat tahun itu, Soh dikecualikan daripada Sukan Asia, dengan SNOC merujuk kepada tingkah lakunya yang membuat "kenyataan yang mengejek" secara terbuka.
Pada 2025, seorang peguam yang sebelum ini mewakili Soh dalam dua kes saman fitnah berasingan menyamannya berhubung catatan di Facebook.
Kini, Soh tidak disertakan dalam senarai sementara SNOC untuk Sukan SEA di Thailand pada Disember tahun ini, walaupun telah mencapai kelayakan yang ditetapkan untuk maraton.
SNOC juga tidak menyatakan secara jelas sebabnya, tetapi berkata ia komited untuk menghantar atlet yang "bukan sahaja memenuhi tanda aras prestasi tetapi juga menjunjung nilai dan tingkah laku yang diharapkan daripada wakil Singapura".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.