"Saya sudah capai matlamat yang saya tetapkan untuk diri saya" - Baihakki 'gantung but' selepas 18 tahun
Pemain veteran bola sepak Singapura, Baihakki Khaizan mengumumkan persaraannya pada usia 38 tahun daripada sukan yang diceburinya selama 18 tahun.

(Gambar: Kejohanan AFF Suzuki)
SINGAPURA: Pemain veteran bola sepak Singapura, Baihakki Khaizan mengumumkan persaraannya pada usia 38 tahun daripada sukan yang diceburinya selama 18 tahun.
Baihakki mengumumkan persaraannya dalam satu catatan berbentuk video di Instagram pada Ahad (30 Jan).
Pemain pertahanan itu membuat penampilan sulung dalam bola sepak profesional sebagai pemain bek tengah bersama Geylang United pada 2003, ketika berusia 19 tahun, menurut Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).
Pada tahun yang sama juga, Baihakki membuat penampilan sulung dalam bola sepak antarabangsa apabila pasukan Singa menang 4-1 menentang Hong Kong di Stadium Jalan Besar.
Sepanjang kerjaya profesionalnya, Baihakki membuat 140 penampilan untuk pasukan negara, iaitu yang kedua paling banyak di belakang Daniel Bennett yang membuat 142 penampilan, menurut FAS.
"Saya sudah mencapai matlamat yang saya tetapkan untuk diri saya dan saya rasa kini sudah tiba di penghujungnya," kata Baihakki kepada FAS.org.sg.
"Saya boleh katakan bahawa tempoh 'peralihan' selama dua bulan lalu ini merupakan satu perjalanan yang penuh emosi, kerana saya tidak dapat 'menyaksikan' keseluruhan perjalanan saya beraksi dalam bola sepak sehingga baru-baru ini apabila saya memutuskan untuk bersara (dan memberitahu keluarga saya).
"Setelah beraksi dalam 140 perlawanan untuk Singapura, banyak liku-liku kehidupan yang telah saya hadapi namun secara jujur, saya menikmati setiap proses yang kami lalui.
"Apabila kami bersiap sedia untuk perlawanan penting, apabila anda menyarungkan jersi, apabila anda tahu senarai perlawanan antarabangsa FIFA yang akan datang, saya mendapat suntikan semangat; saya tidak sabar untuk melaporkan diri kepada Pasukan Negara dan saya sentiasa berbesar hati dapat beraksi dalam perlawanan-perlawanan yang penting," ujar Baihakki kepada FAS.
Ketika bersama Pasukan Singa, Baihakki membantu Singapura menjulang piala Kejohanan AFF Suzuki sebanyak tiga kali pada 2004, 2007 dan 2012.
Dia dinobat Pemain Muda Terbaik semasa penampilan pertamanya pada 2003 dan beraksi bersama Singa Muda (2004-2007), kembali mewakili Geylang (2008-2009), Warriors FC (2017) dan yang terakhir Tampines Rovers (2020-2021).
Selain mewakili kelab bola sepak tempatan, Baihakki juga menebarkan sayapnya ke Asia Tenggara untuk menyarung jersi bagi beberapa kelab bola sepak di Indonesia (Persija Jakarta, Persib Bandung, Medan Chiefs), Malaysia (Johor Darul Ta’zim) dan Thailand Trat, PT Prachuap).
"Saya berhasrat untuk terus menyumbang kepada masyarakat bola sepak kerana saya mahu memahami permainan ini dengan lebih mendalam dari sudut pengurusan," katanya. “Saya ingin meneroka (bidang ini) dan mudah-mudahan dengan pengalaman dan pengetahuan saya beraksi di rantau ini, saya boleh menyumbang kepada kemajuan bola sepak tempatan.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.