Saudi terbuka untuk anjur dua perlumbaan F1 dalam masa terdekat

(Gambar: Giuseppe Cacace/AFP)
RIYADH: Arab Saudi terbuka untuk menganjurkan dua perlumbaan Formula One dalam setahun dan ia mungkin berlaku dalam masa terdakat, menurut penganjur tempatan pada Jumaat (17 Mac).
Perlumbaan di litar Corniche Street di Jeddah pada Ahad (19 Mac) merupakan grand prix yang ketiga diadakan di Arab Saudi. Satu landasan litar baru yang dirancang bagi 'bandar hiburan' Qiddiya berdekatan Riyadh mungkin selesai dibina menjelang 2027, lapor Reuters.
"Idea menganjurkan dua perlumbaan di Saudi boleh dilakukan," kata Pengerusi Persekutuan Automobil dan Motosikal Saudi, Putera Khalid bin Sultan al-Abdullah al-Faisal, kepada wartawan.
"Anda menyaksikan tiga perlumbaan di Amerika Syarikat kerana pasaran di sana besar dan terdapat permintaan. Jadi terdapat permintaan (di Arab Saudi), namun keputusan belum dibuat. Ada banyak perkara yang kami perlu pertimbangkan.
"Sukan itu sedang berkembang, permintaan semakin meningkat. Justeru, saya tidak terkejut sekiranya Saudi akan menganjurkan dua perlumbaan dalam masa terdekat. Saya tidak akan terkejut," tambahnya.
"Terdapat permintaan dan kami mempunyai dua kemudahan yang indah."
Putera Khalid berkata Formula One merupakan acara sukan terbesar di Arab Saudi dan terdapat pelaburan besar bagi landasan litar di Jeddah, namun tiada perbincangan dengan pemegang hak komersil Liberty Media mengenai penganjuran dua perlumbaan.
Arab Saudi dijangka berkemungkinan menganjurkan perlumbaan pembukaan tahun depan dan bukan negara jiran Bahrain, disebabkan bila bermulanya waktu Ramadan.
Negara itu menganjurkan perlumbaan pertama Formula One pada Disember 2021, bersama dengan Abu Dhabi, sebelum beralih ke slot lewat Mac pada hujung minggu berturut-turut bersama Bahrain tahun lalu.
"Sama ada Saudi atau Bahrain yang boleh menganjurkan perlumbaan sebelum Ramadan dan selepas Ramadan, cuaca pada April dan Mei terik," kata Putera Khalid.
"Oleh itu, Mac adalah bulan terakhir di mana keadaan cuaca sesuai... Kalau tidak, ia akan dialihkan kepada Oktober atau selepas cuaca lebih baik di rantau kami."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.