Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Saudi negara Timur Tengah keempat ceburi sepak takraw; pasukan kebangsaannya akan bertanding di Sukan Asia 2034

Anggaran Waktu Membaca:
Saudi negara Timur Tengah keempat ceburi sepak takraw; pasukan kebangsaannya akan bertanding di Sukan Asia 2034

Gambar: Persekutuan Sepak Takraw Asia

RIYADH: Arab Saudi bakal muncul negara keempat Timur Tengah yang menceburi sepak takraw sekali gus mampu menyediakan pasukan kebangsaannya apabila menjadi tuan rumah Sukan Asia 2034 di Riyadh.

Arab Saudi bukan hanya bersedia menjadi penganjur bahkan peserta sepak takraw temasya ke-22 itu mahupun kejohanan penyeliaan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) akan datang.

Sebelum ini, hanya tiga negara di rantau itu yang aktif menyertai Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand, Sukan Asia dan Sukan Pantai Asia iaitu Iran, Oman dan Iraq.

Sebagai langkah awal ke arah itu, Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) menjalankan Kursus Pengadil dan Kejurulatihan Sepak Takraw selama lima hari mulai semalam (22 Mei) di Kompleks Olimpik Putera Faisal Fahad di Riyadh.

Kursus yang diadakan dengan kerjasama Jawatankuasa Sepak Takraw Arab Saudi, menurut Presiden ASTAF, Abdul Halim Kader, turut bertujuan menjadikan negara itu ahli gabungan terbaru ASTAF dan ISTAF dalam sedikit masa lagi.

“Saya tiba di Riyadh, Ahad lalu dengan Timbalan Setiausaha Agung ASTAF, Muhammad Fariq Halim; Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Pengadil ASTAF, Jolly Laboy dan bekas jurulatih skuad wanita Thailand, Veeras Na Nongkhai.

“Jawatankuasa Sepak Takraw Arab Saudi diketuai Pengerusinya, Aljawharah Y. Fallatah,” kata Encik Halim yang juga Setiausaha Agung ISTAF dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil ASTAF.

Kursus sehingga Ahad ini kata Encik Halim, menyampaikan topik-topik seperti “Kualiti-Kualiti Pengadil Yang Berkesan dan Kod Pakaian Berdasarkan Peraturan ISTAF bagi Sukan Asia” dan “Yang Boleh dan Tidak Boleh bagi Pengadil Sepak Takraw”.

“Topik-topik lain termasuk “Undang-Undang Permainan Sepak Takraw (Berpasukan, Regu, Beregu, Berempat dan Gelung) dan “Struktur Kejurulatihan Sepak Takraw 3 Fasa” serta “Kaedah dan Nilai-Nilai Kejurulatihan”,” ujar Encik Halim selanjutnya.

Veeras, 70 tahun, adalah seorang jurulatih berpengalaman yang sudah beberapa kali membawa skuad wanita negaranya memenangi pingat emas Sukan Asia, Sukan SEA, Piala Raja Thailand, Siri Super ISTAF dan Piala Dunia ISTAF.

Bekas apit kiri dan perejam handalan Thailand era 1980-an yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan ASTAF ini turut pernah melatih Singapura selain menyertai barisan kejurulatihan Laos pada Sukan SEA Kemboja di Phnom Penh, baru-baru ini.
 
Sumber : Agensi berita/AW/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan