Skip to main content

Sukan

Sanjungan mencurah-curah selepas Messi umum undur diri daripada bola sepak antarabangsa

Anggaran Waktu Membaca:
Sanjungan mencurah-curah selepas Messi umum undur diri daripada bola sepak antarabangsa

Lionel Messi mengenakan jersi nombor 10. (Gambar fail: REUTERS/Carl Recine)

Diterbitkan : 01 Sep 2026 07:19AM Dikemas Kini : 01 Sep 2026 07:21AM
ARGENTINA: Lionel Messi dari Argentina mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa pada Isnin (31 Ogos).

Berikut antara ucapan dan reaksi selepas pengumuman tersebut:

CLAUDIO TAPIA, PRESIDEN PERSATUAN BOLA SEPAK ARGENTINA

“Kapten impian kami. Budak yang digelar ‘La Pulga’, pemain luar biasa yang berjaya melakukan perkara yang sering dianggap mustahil... Anda sudah menjadi legenda negara ini, pasukan kebangsaan kami dan bola sepak dunia.

“Anda membuatkan kami percaya kepada keajaiban. Mungkin kerana itulah kami sukar menerima bahawa masa juga terus berlalu untuk anda. Jersi pasukan kebangsaan Argentina adalah lambang kehebatan anda. Dan kasih sayang rakyat kami terhadap anda akan kekal selama-lamanya.”

GIANNI INFANTINO, PRESIDEN FIFA

“Terima kasih kerana membawa begitu banyak kegembiraan kepada jutaan peminat bola sepak. Anda bersara daripada bola sepak antarabangsa sebagai juara Piala Dunia FIFA dan sebagai salah seorang pemain terhebat yang pernah disaksikan dalam sejarah sukan ini. Saya mendoakan yang terbaik untuk anda.”

ENZO FERNANDEZ, PEMAIN TENGAH ARGENTINA

“Hari ini, sukar untuk saya membayangkan kem latihan akan datang tanpa kehadiran anda. Sukar membayangkan turun ke padang dan tidak melihat anda di bahagian jentera serangan kami dengan memakai jersi nombor 10. Sudah bertahun-tahun saya melihat anda berada di sana sehingga sukar untuk membayangkan keadaan yang berbeza.

“Betapa bertuahnya saya, Leo... Terima kasih atas layanan anda terhadap saya, atas segala-gala yang anda ajarkan dan kerana memberi peluang kepada saya untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan anda. Kami akan sangat merindui anda, kapten.”

LAUTARO MARTINEZ, PENYERANG ARGENTINA

“Saya tidak tahu jika terdapat cukup kata-kata untuk mengucapkan terima kasih atas segala yang anda lakukan untuk kami. Selain segala kejayaan yang anda capai di atas padang, perkara yang paling saya ingati ialah segala yang anda ajarkan kepada kami di luar padang: jangan pernah berputus asa, terus mencuba selepas setiap kegagalan, bekerja keras tanpa banyak bercakap dan, paling penting, sentiasa percaya kepada diri sendiri.

“Kami akan sangat merindui anda, kapten. Kami akan sentiasa bersyukur kerana berpeluang melalui perjalanan ini bersama anda. Terima kasih atas segala-galanya, kapten!”

RODRIGO DE PAUL, PEMAIN TENGAH ARGENTINA

“Kasih sayang anda yang tidak berbelah bahagi terhadap negara kita, semangat juang dalam diri anda untuk tidak pernah berputus asa, kekuatan anda untuk sentiasa menghadapi ketidakadilan, kepimpinan dan kebaikan anda terhadap setiap pemain yang datang ke padang latihan sehingga membuatkan mereka berasa seperti berada di rumah sendiri, serta segala perhatian kecil yang anda tunjukkan kepada setiap anggota kakitangan pasukan kebangsaan kita.

“Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih – anda adalah pemain terhebat sepanjang zaman. Terima kasih kerana membuatkan kami begitu gembira. Anda tidak tahu betapa banyak senyuman yang anda berikan kepada kami. Anda akan dikenang selama-lamanya.”

ANGEL DI MARIA, BEKAS PENYERANG ARGENTINA

“Sangat sukar untuk membaca berita bahawa anda akan bersara. Selepas ini, kami tidak lagi akan melihat anda memakai jersi biru muda dan putih Argentina.

“Apa yang saya tahu ialah saya dilahirkan pada zaman yang tepat kerana berpeluang menyaksikan anda bermain dan menikmati prestasi anda. Lebih istimewa lagi, saya berpeluang menghabiskan bertahun-tahun bersama anda dalam pasukan kebangsaan.

“Saya dapat melihat anda mencapai impian anda, termasuk impian terbesar anda – menjadi juara dunia.

“Terima kasih banyak atas segala-galanya. Anda adalah seorang legenda dan pemain terhebat sepanjang zaman.”
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita