Skip to main content

Sukan

Salah dinobat Pemain Terbaik PFA; pemain pertama terima Anugerah PFA sebanyak 3 kali

Anggaran Waktu Membaca:
Salah dinobat Pemain Terbaik PFA; pemain pertama terima Anugerah PFA sebanyak 3 kali

Pemain Liverpool Mohamed Salah semasa perlawanan menentang Crystal Palace di Stadium Wembley Stadium, London, Britain pada 10 Ogos 2025. (Gambar: REUTERS/Toby Melville)

MANCHESTER: Penyerang Liverpool Mohamed Salah dinobat sebagai Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) pada Selasa (19 Ogos), dengan pemain Mesir itu menjadi pemain pertama untuk memenangi anugerah itu sebanyak tiga kali.

Salah, yang menyertai Liverpool pada 2017, merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana England (EPL) pada musim lalu dengan 29 gol, sekali gus memainkan peranan penting dalam kelab itu semasa menjuarai EPL musim lalu.

Liverpool menamatkan musim lalu dengan kelebihan 10 mata di hadapan naib juara Arsenal.

Pemain berusia 33 tahun itu telahpun memenangi Anugerah Pemain Terbaik Liga Perdana England, Penyerang Terbaik berdasarkan jumlah gol yang dijaringkan dan Anugerah Pengatur Serangan (Playmaker), menjadikannya pemain pertama untuk memenangi ketiga-tiga anugerah tersebut pada musim yang sama.

Salah pertama kali memenangi Anugerah PFA pada 2018 selepas musim pertamanya di Liverpool, dan sekali lagi pada 2022, dan tahun ini mengungguli senarai enam pemain, yang diundi oleh para ahli PFA daripada 92 pasukan Liga Perdana dan Liga Bola Sepak England.

Senarai itu termasuk rakan sepasukannya di Liverpool, Alexis Mac Allister, bersama penyerang Newcastle United Alexander Isak, Bruno Fernandes dari Manchester United, Declan Rice dari Arsenal dan Cole Palmer dari Chelsea.

Salah menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun dengan Liverpool pada April lalu, sekali gus menamatkan spekulasi selama berbulan-bulan yang mengaitkannya dengan pemindahan ke Liga Pro Saudi.

Pemain tengah Aston Villa dan England, Morgan Rogers pula dipilih sebagai Pemain Muda Terbaik, selepas pemain berusia 23 tahun itu menjaringkan lapan gol dalam 37 perlawanan pada musim lalu dan menjaringkan empat gol dalam Liga Juara-Juara Eropah termasuk hatrik semasa menentang Glasgow Celtic.

Pemain tengah Arsenal, Mariona Caldentey dinobatkan sebagai Pemain Wanita Terbaik. Pemain asal Sepanyol itu menjaringkan sembilan gol dalam musim pertamanya bersama kelab itu bersama-sama dengan lapan gol dalam Liga Juara-Juara Eropah di mana Arsenal mengalahkan bekas kelabnya Barcelona untuk memenangi trofi itu.
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita