Skip to main content

Sukan

Saiyidah Aisyah raih tempat ke-4 dalam Perlawanan Akhir E di Olimpik Paris 2024

Anggaran Waktu Membaca:
Saiyidah Aisyah raih tempat ke-4 dalam Perlawanan Akhir E di Olimpik Paris 2024

Saiyidah Aisyah Mohamed Rafa'ee meraih tempat keempat daripada enam pendayung dalam Perlawanan Akhir E dalam kategori dayung perseorangan wanita. (Gambar: Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura/Facebook)

PARIS: Pendayung Olimpik Singapura, Saiyidah Aisyah Mohamed Rafa'ee meraih tempat keempat daripada enam pendayung dalam Perlawanan Akhir E dalam kategori dayung perseorangan wanita pada Sabtu (3 Ogos).

Secara keseluruhan, seramai 32 peserta berentap dalam acara tersebut dan Aisyah menduduki tempat ke-28 dengan catatan masa 8:03.29 minit.

"Saya rasa gementar dan teruja pada masa yang sama. Ketika itu saya rasa saya masih berdaya tahan dan kuat. Saya juga sedar inilah perlumbaan 2 kilometer terakhir saya untuk masa yang panjang jadi saya hanya ingin lakukan yang terbaik," kata Aisyah yang berkongsi perasaan ketika perlumbaan bermula.

Aisyah cuba menerapkan strategi untuk mendayung dengan pantas pada mulanya dan cuba mengekori pendayung yang lebih laju.

Meski sudah kehabisan tenaga dan berasa penat, beliau masih cekalkan semangat dan cuba sebaik mampu untuk ke garisan penamat.

"Markah saya tidak sebaik keputusan saya di Rio tetapi saya rasa sangat seronok ketika mendayung di sini dan saya fikir itu paling penting untuk saya sekarang," kata Aisyah.

Ini merupakan kali kedua Aisyah membuat kemunculan dalam temasya Sukan Olimpik. Lapan tahun lalu, beliau membuat penampilan sulungnya di Olimpik Rio de Janeiro.

BERSAING MESKI CEDERA

Pengalamannya di temasya sukan Olimpik kali ini menurut Aisyah sesuatu yang baharu dan cuba untuk mengambil iktibar daripadanya.

Beliau juga mengalami kecederaan tindak balas stres pada tulung rusuknya sekitar dua bulan lalu.

"Saya pelajari banyak daripada pengalaman ini kerana saya tidak pernah bersaing ketika cedera sebelum ini. Saya belajar untuk menguruskan emosi dan harapan saya kerana saya rasa ia amat penting.

"Saya boleh terus rasa kasihan akan diri saya atau mengubah pemikiran saya untuk lakukan yang lebih baik ketika dalam situasi ini," ujar Aisyah.

Beliau sempat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jurulatih, Singapore Rowing dan Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) atas kejayaannya dalam temasya sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya amat berterima kasih kepada jurulatih saya kerana apabila saya mendekatinya pada sekitar Oktober atau November tahun lepas dan memberitahunya bahawa saya berminat untuk mencuba dan melayakkan diri ke Paris, beliau bersedia dan tidak mempersoalkan kebolehan saya.

"Saya juga menerima sokongan daripada Singapore Rowing dan Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura yang membantu saya ke Paris. Pasukan perubatan di sini juga sudah membantu saya dalam kecederaan saya. Saya menghargai mereka semua," kata Aisyah.
PERANCANGAN SETERUSNYA

Kira-kira dua bulan lagi, Aisyah akan menyertai pertandingan 'Head of the Charles Regatta' di Boston, Amerika Syarikat pada Oktober ini .

"Saya suka pertandingan itu kerana jangka masanya yang lebih lama dan perjalanan perlumbaan yang melalui di bawah banyak jambatan dengan pelbagai selekoh," kata Aisyah.

Melangkah ke hadapan, beliau berharap dapat membantu pasukan pendayung Singapura dan sedang memikirkan cara untuk menyumbang kepada pasukan itu meski menetap di Amerika Syarikat.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita