Ronaldo pilih rehat daripada bermain dalam Piala Dunia Kelab FIFA
Cristiano Ronaldo memilih untuk berehat daripada bermain dalam edisi baharu Piala Dunia Kelab, kata pemain antarabangsa Portugal itu pada Sabtu (28 Jun) selepas memperbaharui kontraknya bersama Al-Nassr.
Bola Sepak – Liga Pro Saudi – Al Nassr lawan Al Khaleej – Al-Awwal Park, Riyadh, Arab Saudi – 21 Mei 2025, Cristiano Ronaldo dari Al Nassr sebelum perlawanan. (Gambar fail: REUTERS/Hamad I Mohammed)
Kelab Liga Pro Saudi itu mengumumkan pada Khamis bahawa Ronaldo sudah menandatangani kontrak selama dua tahun yang akan mengekalkan pemain itu di kelab tersebut melepasi ulang tahun kelahirannya yang ke-42.
Spekulasi mengenai rancangan pemain berusia 40 tahun itu meningkat bulan lalu apabila Presiden FIFA, Gianni Infantino, berkata perbincangan sedang dijalankan tentang kemungkinan Ronaldo bermain dalam Piala Dunia Kelab, walaupun Al-Nassr gagal layak ke kejohanan tersebut.
“Saya ada menerima beberapa tawaran untuk bermain dalam Piala Dunia, tetapi saya rasa ia tidak masuk akal kerana saya lebih memilih untuk berehat dengan baik, membuat persiapan yang baik, kerana musim ini akan menjadi sangat panjang memandangkan terdapat Piala Dunia di hujung tahun,” kata Ronaldo dalam satu video yang diterbitkan Al-Nassr di X.
“Saya mahu bersedia, bukan sahaja untuk Al-Nassr tetapi juga untuk pasukan kebangsaan. Jadi, inilah sebab saya memilih untuk bermain dalam perlawanan terakhir Liga Negara-Negara dan tidak mempedulikan apa-apa yang lain,” tambahnya.
“Dan sudah tentu, untuk berada di kelab ini, yang saya cintai.”
Ronaldo menjaringkan gol untuk Portugal dalam perlawanan akhir Liga Negara-Negara menentang Sepanyol awal bulan ini, yang berakhir dengan keputusan 2-2 sebelum pasukannya menumpaskan juara Eropah itu menerusi penentuan penalti.
Kapten Portugal itu berkata matlamatnya untuk kekal bersama Al-Nassr adalah untuk memenangi trofi utama bersama kelab yang berpangkalan di Riyadh itu.
“Matlamat saya sentiasa untuk memenangi sesuatu yang penting bersama Al-Nassr. Dan saya masih percaya akan perkara itu,” tambah Ronaldo.
“Inilah sebab saya memperbaharui kontrak bagi dua tahun lagi kerana saya percaya saya akan menjadi juara di Arab Saudi.”
Ronaldo, yang menyertai Al-Nassr pada 2022 selepas meninggalkan Manchester United sebagai ejen bebas, menjaringkan 93 gol dalam 105 penampilan bagi kelab itu dalam semua pertandingan.
Ronaldo juga sedang menyasarkan pencapaian 1,000 gol sepanjang kerjayanya. Beliau sulah menjaringkan 794 gol dalam bola sepak kelab dan 138 gol untuk Portugal, menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 932 gol.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.