Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Riyadh bakal sertakan sepak takraw dalam bidaan Sukan Asia 2030; ISTAF rancang hantar jurulatih pakar

Jawatankuasa Olimpik Arab Saudi (SAOC) dijangka akan menyertakan sepak takraw dalam bidaan Riyadh untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia buat julung-julung kalinya pada 2030.

Anggaran Waktu Membaca:
Riyadh bakal sertakan sepak takraw dalam bidaan Sukan Asia 2030; ISTAF rancang hantar jurulatih pakar

Logo Jawatankuasa Olimpik Arab Saudi (SAOC) (kiri) dan Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) Abdul Halim Kader. (Gambar-gambar: Twitter/RiyadhAG2030; Abdul Halim Kader)

BERITAmediacorp: Jawatankuasa Olimpik Arab Saudi (SAOC) dijangka akan menyertakan sepak takraw dalam bidaan Riyadh untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia buat julung-julung kalinya pada 2030.

Demikian didedahkan oleh Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) Abdul Halim Kader secara eksklusif kepada BERITAmediacorp siang tadi (13 Okt).

Beliau baru-baru ini berbalas surat dengan Presiden SAOC Sultan Abdulaziz Turki Al-Faisal Al Saud yang mempelawa kerjasama ISTAF bagi “mewujudkan ekosistem berkesan” untuk membangunkan sukan sepak takraw di negara itu menjelang temasya berprestij tersebut.

Abdul Halim Kader berharap dapat bertemu dengan Duta Arab Saudi di Singapura dalam masa terdekat untuk berbincang tentang penyertaan sepak takraw dalam Sukan Asia 2030. (Gambar ihsan: Abdul Halim Kader)

Encik Abdul Halim Kader. (Gambar ihsan: Abdul Halim Kader)

“Berita ini menggembirakan semua keluarga sepak takraw di Asia termasuk Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, Brunei dan negara-negara ASEAN yang lain,” luah Encik Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Sepak takraw pertama kali disenaraikan dalam Sukan Asia pada 1990 dan sejak itu sukan tersebut ditampilkan dalam kesemua edisi temasya yang diadakan setiap empat tahun itu.

Meskipun sepak takraw belum lagi diiktiraf sebagai antara acara sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik, minat Arab Saudi itu dilihat sebagai satu anjakan dalam usaha ISTAF dan ASTAF untuk menembusi gelanggang sukan bertaraf dunia.

“Kemasukan sepak takraw sudah tentu akan melonjakkan lagi keterampilan dan usaha ISTAF untuk membawa sukan tradisional Melayu itu ke dunia Olimpik,” tambah beliau.

Pasukan Singapura menentang Philippines di gelanggang Sukan SEA 2019. (Gambar: Izwan Ohtman)

Penyertaan sepak takraw dalam Sukan Asia 2030 dilihat dapat membantu usaha ISTAF dan ASTAF memperkenalkan sukan tersebut dalam temasya Olimpik. (Gambar fail: Izwan Ohtman/BERITAmediacorp)

AKADEMI SEPAK TAKRAW, JURULATIH IMPORT

Sejauh ini, sepak takraw sudahpun diperkenalkan di beberapa negara Timur Tengah termasuk di Oman, Qatar, Iraq, Afghanistan dan Iran.

Justeru, Encik Halim meletakkan tempoh lapan tahun “untuk memikat negara-negara baru dari Asia menjadi kerabat ASTAF dan ISTAF”.

Gambar fail para anggota ISTAF.

Encik Halim dijangka bertemu dengan Presiden ISTAF General Charouck Arrirachakaran (di sebelah kiri beliau) dan Timbalan Presiden ASTAF Ahmad Haji Ismail untuk membincangkan perkembangan tersebut dalam masa terdekat. (Gambar ihsan: Abdul Halim Kader)

Untuk mencapai matlamat tersebut, kedua-dua persekutuan yang berpangkalan di Singapura itu akan mencipta sejarah dengan menubuhkan satu-satunya akademi sepak takraw di Riyadh pada tahun depan.

Mengulas lebih lanjut, beliau mahu memikat minat golongan belia di Arab Saudi dengan memperkenalkan sukan tersebut kepada pelajar-pelajar di peringat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

Antara lain, ISTAF akan bekerjasama dengan ASTAF untuk menganjurkan perlawanan-perlawanan demonstrasi antara wakil-wakil pasukan belia dari negara-negara Asia di Riyadh sebaik saja situasi COVID-19 membenarkan penganjurannya.

Dalam pada itu, persatuan-persatuan sepak takraw bakal menghantar beberapa “jurulatih import” dari Asia untuk bertapak di Arab Saudi bagi memberi tunjuk ajar untuk menubuhkan akademi tersebut.

“Saya sendiri akan mengenal pasti beberapa jurulatih yang akan kita sarankan untuk memperkenalkan latihan-latihan akademi sepak takraw di Riyadh nanti,” jamin Encik Halim sambil mengatakan beliau akan mengadakan perbincangan dengan Presiden ISTAF Jeneral Charouck Arrirachakaran dan Timbalan Presiden ASTAF Ahmad Haji Ismail di Bangkok nanti.

General Charouch Arrirachakaran (tengah) dan Setiausaha Agung ASTAF Boonchai Lorhpipat. (Gambar ihsan: Abdul Halim Kader)

SEIRING VISI 2030

Riyadh bersaing dengan Doha di Qatar dalam bidaan untuk menjadi penganjur Sukan Asia ke-21 yang bakal berlangsung pada 2030 dengan Majlis Olimpik Asia (OCA) dijangka akan mengumumkan keputusannya pada 16 Disember ini.

Dengan slogan “Mengubah Masa Hadapan”, SAOC turut mendedahkan bahawa usaha jawatankuasa itu seiring dengan Visi 2030 negara tersebut untuk menjadi masyarakat yang lebih terbuka. Anggota SAOC Puteri Reema Bandar Al Saud misalnya berharap ia dapat merangsang pelibatan wanita dalam sukan.

Logo yang diusulkan SAOC bagi Sukan Asia 2030. (Gambar: Twitter/RiyadhAG2030)

Sehubungan itu, Encik Halim mengajukan cadangan untuk menganjurkan sekurang-kurangnya lapan acara di gelanggang Riyadh kelak untuk para pemain lelaki dan wanita. Sebagai tanda sokongan, ISTAF dan ASTAF akan menyumbang bola takraw dan peralatan serta buku panduan sepak takraw kepada Arab Saudi.

“Saya telah menyampaikan rasa terima kasih keluarga sepak takraw Asia kepada Sultan Abdulaziz dalam surat saya bertarikh 9 Oktober sebagai membalas surat beliau selaku Presiden SAOC.

Presiden SAOC Sultan Abdulaziz. (Gambar: Twitter/RiyadhAG2030)

“Saya berharap dapat bertemu dengan Duta Saudi di Singapura Saad Saleh Al Saleh dalam masa terdekat ini untuk menyampaikan sumbangan ISTAF dan ASTAF itu,” kata Encik Halim.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan