Skip to main content

Sukan

Remaja 15 tahun ini catat sejarah jadi pemandu wanita F4 pertama SG

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Oct 2025 10:40PM Dikemas Kini : 03 Nov 2025 01:55PM
SINGAPURA: Seorang remaja berusia 15 tahun dari Singapura menempa nama di litar perlumbaan.

Meskipun masih terlalu muda untuk memiliki lesen memandu, ia tidak sekalipun menghalangnya daripada mencatat sejarah di litar perlumbaan.

Kareen Kaur bahkan sudah mencatat kelajuan memandu lebih 200 kilometer sejam di litar perlumbaan.

Kareen mula memandu go-kart pada usia sembilan tahun.

Setahun kemudian, beliau menyertai perlumbaan.
Related article image
(Gambar: Facebook/Kareen Kaur)
"Saya tidak tahu berapa laju go-kart boleh dipandu, jadi saya agak terkejut. Tetapi selepas beberapa pusingan, saya terbiasa dengannya. Saya benar-benar suka kelajuan. Semasa saya memandu, saya dipilih oleh sebuah pasukan Itali, dan begitulah permulaan kerjaya perlumbaan saya dan sekarang, saya tidak mahu berhenti," kata Kareen.

Kareen pertama kali memandu kereta lumba Formula 4 pada Jun lalu dan berlatih di luar negara.

F4 adalah langkah pertama ke arah Formula 1 iaitu kemuncak sukan lumba kereta, yang didominasi kaum lelaki sejak sekian lama.

"Dalam kereta lumba Formula 4, anda boleh memandu pada kelajuan melebihi 200 kilometer sejam. Ia sangat meletihkan jika anda tidak cukup kuat. Para pemandu lelaki lebih kuat, maka itu saya perlu berusaha dua kali ganda lebih keras untuk mendahului mereka," kongsi Kareen.
Related article image
(Gambar: Facebook/Kareen Kaur)
"Saya fikir bahawa setiap orang hanya mahu memandu dan menang. Dan saya fikir, tidak penting sama ada anda seorang pemandu wanita atau lelaki," tambahnya.

Pada hari-hari paling sibuknya, Kareen perlu mengimbangi masa antara sekolah, latihan bola jaring dan go-kart.

Sekolahnya juga menyokong impian Kareen dan membenarkannya bertanding di luar negara.

Namun semasa musim peperiksaan, pelajar Menengah Tiga itu harus menggantung latihan perlumbaannya bagi memberi tumpuan kepada pelajaran.

"Untuk memanfaatkan masa saya sepenuhnya, saya perlu membuat kerja sekolah di dalam pesawat dan juga di hotel, supaya apabila saya pulang ke sekolah, saya tidak ketinggalan.

"Saya terpaksa melepaskan beberapa peluang akibat perlumbaan. Kadangkala saya melihat rakan-rakan saya keluar dan berseronok, tetapi saya perlu berdisiplin. Saya perlu kekal fokus pada apa yang saya lakukan," kata Kareen.

Perjalanan remaja tersebut tidak mudah, tetapi tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk berhenti berlumba.

Kareen bercita-cita menjadi pemandu F1 pertama dari Singapura suatu hari nanti.
Sumber : CNA/AI/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita