Skip to main content

Sukan

Rekod 500 juta permintaan bagi tiket Piala Dunia FIFA 2026

Anggaran Waktu Membaca:
 Rekod 500 juta permintaan bagi tiket Piala Dunia FIFA 2026
(Gambar: REUTERS/Denis Balibouse)
Diterbitkan : 15 Jan 2026 07:55AM Dikemas Kini : 15 Jan 2026 08:06AM
NEW YORK: FIFA menyatakan pada Selasa (13 Jan) bahawa ia sudah menerima lebih 500 juta permintaan tiket untuk Piala Dunia FIFA 2026 sepanjang tempoh permohonan selama 33 hari yang ditutup minggu ini. FIFA menyifatkan jumlah itu sebagai satu mercu tanda baharu dalam sejarah sukan dunia.

Kejohanan tersebut, yang akan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada serta menampilkan 48 pasukan buat julung-julung kalinya, menarik permohonan daripada peminat dan penyokong dari kesemua 211 negara dan wilayah anggota FIFA, kata badan induk bola sepak itu dalam satu kenyataan.

Setiap permohonan disahkan melalui data kad kredit yang unik, dengan peminat dan penyokong secara purata membuat permintaan bagi sebanyak 15 juta tiket setiap hari.

Selain daripada tiga negara penganjur, jumlah permohonan tertinggi adalah dari Jerman, England, Brazil, Sepanyol, Portugal, Argentina dan Colombia.

Perlawanan yang paling mendapat sambutan hangat ialah pertemuan peringkat kumpulan antara Colombia dan Portugal di Miami pada 27 Jun.

"Setengah bilion permintaan tiket dalam masa lebih sebulan adalah lebih daripada sekadar permintaan, ia adalah satu kenyataan global," kata Presiden FIFA Gianni Infantino.

Para penyokong dan peminat akan dimaklumkan tentang keputusan permohonan mereka melalui emel selewat-lewatnya pada 5 Februari. Bagi perlawanan yang mempunyai permintaan melebihi bekalan, tiket akan diagihkan melalui proses pemilihan secara rambang (undian), tambah FIFA.

Pemohon yang tidak berjaya akan mempunyai peluang lain untuk membeli tiket apabila dekat dengan tempoh kejohanan kelak iaitu semasa fasa jualan saat akhir, mengikut prinsip "siapa cepat dia dapat".

FIFA juga menyediakan platform pasaran penjualan semula dan pertukaran rasmi untuk pemegang tiket yang layak. Ia bertujuan untuk melindungi peminat dan tertakluk kepada peraturan persekutuan serta tempatan.

Piala Dunia FIFA 2026 akan bermula pada 11 Jun dengan Mexico menentang Afrika Selatan di Mexico City. Perlawanan akhir pula akan berlangsung pada 19 Julai di New Jersey.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita