Real Madrid kecundang di tangan Athletic Bilbao dalam Copa del Rey
Penyerang Athletic Bilbao Alex Berenguer (kiri) meraikan jaringan ketika aksi suku akhir Copa del Rey menentang Real Madrid di Stadium San Mames, Bilbao. Gambar: AFP
MADRID: Rembatan minit terakhir oleh penyerang Athletic Bilbao, Alex Berenguer memberikan kemenangan 1-0 ke atas Real Madrid, sekali gus menyingkirkan gergasi bola sepak Sepanyol itu di peringkat suku akhir Copa del Rey pada Khamis (3 Feb).
Athletic, yang menyingkirkan Barcelona pada pusingan sebelumnya, menamatkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut di tangan Real Madrid dalam semua pertandingan sejak dua bulan lalu hasil jaringan Berenguer.
Athletic akan menyertai Valencia, Rayo Vallecano dan Real Betis ke peringkat separuh akhir.
Real Madrid kelihatan terjejas tanpa kehadiran penyerang handalannya, Karim Benzema yang belum pulih daripada kecederaan otot kaki dan kelincahan pasukan itu juga terbatas dengan prestasi hambar Vinicius Jr.
"Kami dapat mengawal permainan dan kami sepatutnya ada peluang untuk menang sewaktu masa tambahan tetapi mereka berjaya menjaringkan gol pada minit terakhir, jadi mereka berhak menang,” kata jurulatih Carlo Ancelotti kepada para wartawan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.