Real Madrid kalah mengejut 2-1 di tangan Valencia
Kempen hambar Real Madrid terus memanjang sedang gergasi bola sepak Sepanyol itu ditumpaskan 2-1 oleh Valencia pada Rabu (3 Apr), yang juga merupakan kekalahan kesembilan dalam La Liga dan buat kali pertama sejak kembalinya jurulatih pasukan Zinedine Zidane.

(Gambar: Reuters)
VALENCIA: Kempen hambar Real Madrid terus memanjang sedang gergasi bola sepak Sepanyol itu ditumpaskan 2-1 oleh Valencia pada Rabu (3 Apr), yang juga merupakan kekalahan kesembilan dalam La Liga dan buat kali pertama sejak kembalinya jurulatih pasukan Zinedine Zidane.
Pemain kebangsaan Portugal Goncalo Guedes menjaringkan gol pertama Valencia pada minit ke-35 menerusi rembatan kencang dalam petak penalti yang jelas sukar diselamatkan oleh penjaga gawang Madird Keylor Navas.
Madrid menunjukkan prestasi baik pada awal perlawanan namun kehilangan momentum selepas jaringan gol pertama Valencia, sedang pasukan lawan terus menggugat kedudukan mereka pada separuh masa kedua perlawanan. Valencia menggandakan gol menerusi tandukan Ezequiel Garay pada minit ke-83.
Tandukan Karim Benzema pula menghasilkan gol tunggal Madrid semasa waktu tambahan, sejurus selepas tendangan penalti bagi pasukan Zidane ditarik balik menyusuli semakan VAR yang memutuskan Sergio Ramos berada dalam kedudukan ofsaid.
Madrid kini menduduki tangga ketiga La Liga dengan pungutan 57 mata, 13 mata di belakang Barcelona dan lima mata di belakang Atletico Madrid.
Valencia yang sudah mara ke perlawanan akhir Copa del Rey dan suku akhir Liga Europa, kini menyasarkan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah selepas mendaki ke tangga kelima liga dengan kutipan 46 mata, hanya satu mada di belakang Getafe yang menduduki tangga keempat.
Kemenangan pada Rabu melanjutkan rekod tanpa kalah Valencia kepada 17 perlawanan dalam semua pertandingan, rekod tanpa kalah paling panjang sejak pasukan itu ditubuhkan 100 tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.