Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Rayuan visa Djokovic ditolak, diusir dari Australia

Mahkamah Persekutuan Australia pada Ahad (16 Jan) sebulat suara menolak rayuan pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic untuk terus berada di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Rayuan visa Djokovic ditolak, diusir dari Australia

Pemain tenis Serbia Novak Djokovic. (Gambar: AFP)

MELBOURNE: Mahkamah Persekutuan Australia pada Ahad (16 Jan) sebulat suara menolak rayuan pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic untuk terus berada di negara itu.

Ini sekali gus menamatkan perbalahan penuh sensasi berhubung status vaksinasi COVID-19 pemain tersebut dan hasrat bintang Serbia itu untuk memburu rekod kejuaraan Grand Slam yang ke-21.

Djokovic dilihat menaiki pesawat Emirates menuju ke Dubai, menurut seorang wartawan Reuters beberapa jam selepas keputusan mahkamah itu.

Terdahulu, Djokovic berkata dia "amat hampa" namun akan mematuhi keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan kerajaan Australia membatalkan lagi visanya kerana dia belum mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

"Saya tidak boleh berada di Australia dan menyertai Terbuka Australia," katanya pada malam sebelum kejohanan yang diunggulinya selama sedekad.

"Saya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa relevan berkaitan pemergian saya dari negara ini," katanya. "Saya harap kita dapat beri tumpuan kepada sukan dan kejohanan kesayangan saya."

Ketua hakim Mahkamah Persekutuan Australia James Allsop, menolak percubaan Djokovic untuk memfailkan rayuan terhadap pembatalan visanya dan percubaan mencipta sejarah dalam sukan tenis.

"Perintah mahkamah adalah permohonan yang dipinda dibatalkan dengan kos," kata Allsop dalam satu kenyataan mengumumkan keputusan sebulat suara itu.

Pada 6 Januari lalu, sejurus ketibaannya di Lapangan Terbang Melbourne, visa Djokovic dibatalkan seterusnya ditahan sebagai tahanan imigresen di sebuah hotel di Melbourne.

Pembatalan dibuat susulan status vaksinasinya meskipun pihak Djokovic sebelum ini sudah memohon untuk pengecualian kesihatan bagi membolehkan dia beraksi tanpa perlu divaksin.

Bagaimanapun, pada Isnin lalu, juara bertahan itu dibebaskan dari tahanan imigresen Australia serta merta selepas hakim Anthony Kelly mendapati pembatalan visa Djokovic itu sebagai tidak berasas.

Encik Kelly juga mengarahkan agar pasport dan semua dokumen peribadi dipulangkan sekali gus memungkinkan penyertaan Djokovic dalam Terbuka Australia 2022.

Sumber : AP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan