Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Ratu pecut SG Shanti Pereira teruja 'mula lembaran baharu' susuli 'musim sangat mencabar'

Anggaran Waktu Membaca:
Ratu pecut SG Shanti Pereira teruja 'mula lembaran baharu' susuli 'musim sangat mencabar'

Shanti Pereira (kiri) beraksi di Sukan Olimpik Paris. (Gambar fail: Kong Chong Yew/SNOC)

SINGAPURA: Menyusuli musim sukar yang menyaksikan beliau bergelut dengan kecederaan dan kempen Sukan Olimpik yang mencabar, ratu pecut Singapura Shanti Pereira berharap dapat mencari ketenangan sekembalinya di tanah air.

Bercakap kepada wartawan sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Changi pada Khamis (5 Sep), atlet negara berusia 27 tahun itu meluahkan rasa ghairahnya untuk "berehat", "bersantai" dan meluangkan masa bersama orang yang tersayang.

"Saya sangat merindui Singapura, saya tidak fikir akan begitu merindui tanah air (sebelum ini)," ujarnya.

"Saya rasa ini kerana musim ini juga sangat sukar."

Pelari pecut itu, yang kelihatan ceria sekalipun baru sahaja melalui penerbangan selama 12 jam dari Copenhagen, berkata beliau akan mengambil cuti sepanjang bulan ini sebelum kembali berlatih.

Kerjaya Pereira sejak dua tahun kebelakangan ini diuji dengan pasang surut.

Di Sukan Asia Hangzhou tahun lalu, beliau berjaya memenangi acara 200 meter, sekali gus merangkul pingat emas olahraga pertama Singapura sejak 1974. Beberapa hari sebelum itu, Shanti mengakhiri kemarau Singapura selama hampir 50 tahun bagi pingat acara padang dan balapan di Sukan Asia, apabila menang perak dalam acara pecut 100 meter.

Pada permulaan 2024, beliau mengikuti latihan di Florida selama dua bulan. Namun, kecederaan tekanan pada fibulanya menyebabkan beliau terlepas daripada membuat penampilan sulung dalam pertandingan Diamond League di Xiamen dan Shanghai, serta dua kejohanan utama di Jepun.

Ia juga menghambat persediaannya bagi Sukan Olimpik Paris.

Dalam kempen kedua Sukan Olimpik itu,Shanti tidak berjaya mara ke pusingan seterusnya selepas bersaing dalam pusingan saringan 100m dan 200m.

Dalam acara 200m, beliau mencatatkan masa 23.21 saat dalam acara saringan sebelum mencatat masa 23.45 saat dalam pusingan saring semula. Rekod kebangsaannya ialah 22.57 saat.

Dalam acara 100m, beliau mencatat 11.63 saat, dan menduduki tempat ke-55 daripada 72 atlet secara keseluruhan. Rekod kebangsaannya ialah 11.20 saat.

"Saya benar-benar harapkan musim ini berbeza, tetapi tiada apa yang boleh saya buat sekarang, kecuali ambil iktibar daripadanya dan juga menerima bahawa ia adalah sebahagian daripada perjalanan setiap atlet ... Mengetahui perkara itu dan masih mengetahui apa yang saya laburkan, saya benar-benar berpuas hati dengan diri saya sendiri. Sekarang saya hanya teruja untuk memulakan yang baharu."

Menyusuli kempennya di sukan temasya Olimpik, Pereira turut bersaing di dalam pertemuan di Finland dan Denmark dengan matlamat untuk memperbaiki prestasi terbaik yang ditampilkan dalam musim sebelumnya.

Memandang ke hadapan, 2025 akan menjadi "tahun yang cukup besar" bagi pelari pecut tersebut.

Beliau akan bertanding dalam Kejohanan Olahraga Asia, di mana beliau merupakan juara bertahan dalam acara 100m dan 200m. Shanti juga mengintai untuk mempertahankan kedua-dua gelarannya di Sukan SEA, yang akan berlangsung akhir tahun ini di Bangkok.

Shanti turut meluahkan harapan akan layak untuk berentap di Kejohanan Sedunia, yang dijadual berlangsung di Tokyo tahun depan.

"Saya cukup teruja," jelasnya. "Sekarang (kami) telah menggulung musim ini, jurulatih (Luis Cunha) dan saya sudah mengenal pasti apa yang perlu kami tumpukan ... Kini tiba masanya untuk membetulkan semula, mengalihkan fokus semula dan memberi tumpuan kepada musim baharu ini dengan lebih banyak perkara menarik yang akan datang."

Sumber : CNA/SS/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan