Skip to main content

Sukan

Ratu pecut SG Shanti Pereira rangkul pingat perak acara 100 meter Sukan Asia

Anggaran Waktu Membaca:
Ratu pecut SG Shanti Pereira  rangkul pingat perak acara 100 meter Sukan Asia

Gambar: Kong Chong Yew/SNOC

Diterbitkan : 30 Sep 2023 11:10PM Dikemas Kini : 30 Sep 2023 11:11PM
HANGZHOU: Shanti Pereira menamatkan penantian Singapura selama hampir 50 tahun untuk meraih pingat acara balapan dan padang Sukan Asia selepas beliau merangkul pingat perak dalam acara 100m wanita pada Sabtu (30 Sep).

Di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, Pereira mencatatkan masa 11.27s untuk meraih pingat perak. Rekod terbaik peribadi warga Singapura itu adalah 11.20s.

Ge Manqi dari China meraih pingat emas dalam masa 11.23s, manakala pelari Bahrain Hajar Saad Saeed Saad Alkhadi menduduki tempat ketiga (11.35) untuk merebut pingat gangsa.

Warga Singapura terakhir untuk memenangi pingat emas atletik ialah Chee Swee Lee (400m wanita) pada 1974. Pingat Sukan Asia terakhir Singapura dalam sukan itu juga diperolehi pada tahun tersebut.

Pereira berdepan persaingan sengit di peringkat akhir, dengan pelari China Wei Yongli (10.99s) dan Ge Manqi (11.04s) serta pelari Bahrain Ofonime Odiong (11.05s) dan Saeed Alkhaldi (11.17s) semuanya memiliki rekod terbaik peribadi yang lebih pantas.

Ini juga merupakan penyertaan pertama Pereira di peringkat akhir acara 100m. Pada 2018, beliau gagal melayakkan diri ke peringkat akhir.

Meskipun Pereira terlepas dua tempat kelayakan automatik di peringkat saringan, beliau melayakkan diri ke peringkat akhir selepas mencatatkan masa terpantas jika dibandingkan dengan enam kelayakan automatik.

Sebelum bersaing di Sukan Asia, atlit berusia 27 tahun itu mencatatkan masa terpantas oleh mana-mana wanita Asia bagi acara 100 meter pada 2023. Catatan masa 11.20 saat bagaimanapun diatasi Ge (11.17 s) semasa acara saringan pada Jumaat (29 Sep).

Pada Mei lalu, Pereira menjadi wanita Singapura pertama memenangi kedua-dua acara 100m dan 200m pada edisi yang sama Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) dan kemudian disusuli dengan dua larian di Kejohanan Olahraga Asia pada Julai.

Bulan lalu di Budapest, Hungary, Pereira menjadi warga Singapura pertama mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia selepas mempamerkan persembahan cemerlang dalam acara 200m. Beliau juga menepati kriteria kelayakan bagi acara itu untuk Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Pereira, yang menyasarkan pingat bagi acara 100m dan 200m, seterusnya akan menumpukan perhatiannya kepada acara 200m dan akan beraksi di peringkat saringan bagi acara tersebut pada pagi Ahad.

Anda boleh ikuti liputan Sukan Asia ke-19 di Hangzhou secara langsung di 6 saluran khas meWatch.

Log masuk sekarang di www.mewatch.sg/asiangames untuk menonton semua aksi kejohanan itu secara percuma, atau ikuti sedutan acara-acara pertandingan di Mediacorp Entertainment di YouTube.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita