Ratu pecut SG Shanti Pereira gagal mara ke separuh akhir 100m Olimpik Paris

Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira ketinggalan satu tempat dalam separuh akhir 100m wanita di Olimpik Paris pada 2 Ogos 2024. (Gambar: SPORTSSG/Jeremy Lee)
Di Stade de France, Shanti mencatatkan masa 11.63 saat bagi menduduki tangga ketujuh daripada sembilan pelari dalam acara saringan.
Rekod kebangsaan yang dipegangnya adalah 11.20 saat.
Tiga pelari terbaik dalam setiap acara saringan, serta tiga pelari yang terpantas daripada kesemua lapan saringan, layak ke pusingan separuh akhir.
Bulan lalu, Shanti diumumkan akan bersaing dalam Sukan Olimpik Paris selepas layak melalui ranking dunianya.
Dia juga pemenang pingat perak dalam acara 100 meter di Sukan Asia.
Shanti, yang membawa bendera Singapura dengan pelayar Ryan Lo, sebelum ini layak bagi acara 200 meter kerana memenuhi piawai kemasukan Olimpik.
Dia merupakan pelari ke-42 dalam ranking 'Race to Paris' bagi acara 100 meter, di mana 56 pelari terbaik layak bertanding, menurut senarai World Athletics (WA).
Kelayakan bagi Sukan Olimpik adalah berdasarkan dua laluan. Atlet akan dinilai layak bertanding mengikut piawai kemasukan serta ranking dunia.
Piawai kemasukan bagi acara pecut 100 meter adalah 11.07 saat.
Shanti berada di Eropah sejak beberapa bulan lalu untuk menjalani latihan bagi Olimpik Paris.
Pada awal tahun ini, Shanti mengalami kecederaan pada tulang betisnya sehingga terpaksa membatalkan hasrat untuk bertanding dalam beberapa pertandingan termasuk Diamond League.
Pada tahun lalu,Shanti mencapai beberapa kejayaan besar.
Di Sukan Asia Hangzhou, dia memenangi acara akhir 200 meter wanita - pingat emas olahraga pertama Singapura sejak 1974.
Beberapa hari sebelum itu, Shanti mengakhiri kemarau Singapura yang menunggu hampir 50 tahun bagi pingat padang dan balapan di Sukan Asia, selepas beliau menang perak dalam acara pecut 100 meter.
Shanti menang dalam dua acara di Kejohanan Olahraga Asia pada Julai dan juga wanita Singapura pertama yang menang kedua-dua acara 100 meter dan 200 meter di Sukan SEA pada Mei.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.