Rashford yakin Man Utd mampu menang kejuaraan utama
Manchester United mampu memenangi kejuaraan-kejuaraan utama dan perlu berusaha untuk kali terakhir bagi merapatkan jurang dengan kelab-kelab elit Eropah, kata pemain penyerang Marcus Rashford.

Pemain Manchester United, Marcus Rashford pada 12 Dis 2020 (Gambar: Reuters/Michael Regan)
LONDON: Manchester United mampu memenangi kejuaraan-kejuaraan utama dan perlu berusaha untuk kali terakhir bagi merapatkan jurang dengan kelab-kelab elit Eropah, kata pemain penyerang Marcus Rashford.
United belum pernah menjulang sebuah piala sejak 2017, apabila Jose Mourinho membimbing mereka ke kejuaraan Piala Liga dan Liga Europa, sementara kejuaraan Liga Perdana terakhir mereka adalah pada 2012-13 di bawah kepimpinan Alex Ferguson.
Di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer, United mara ke separuh akhir Liga Europa, Piala FA dan Piala Liga musim lalu dan Rashford percaya mereka hanya menanti masa untuk menjulang piala lagi.
"Saya yakin bahawa pasukan yang kami ada sekarang mampu memenangi kejuaraan utama," kata penyerang England itu dalam podcast rasmi Manchester United pada Sabtu (19 Dis).
"Kami belum sampai ke tahap itu, tetapi saya rasa kami sudah dekat. Kami hanya perlu buat percubaan terakhir untuk menjadi sebuah pasukan yang boleh memenangi piala-piala dan bertarung untuk segalanya.
"Dalam perlawanan-perlawanan utama, kami berdiri sama tinggi dengan pasukan mana pun dan kami tahu bahawa kami boleh melakukannya. Di atas padang, kami yakin kami boleh mengalahkan mereka, tidak kira Liverpool, Manchester City atau Paris St Germain."
United berada di tangga ketujuh Liga Perdana England dengan 23 mata, lapan mata di belakang pendahulu Liverpool dengan baki dua perlawanan. Rashford yakin pasukannya boleh merapatkan jurang dengan prestasi baik pada musim perayaan.
United akan berdepan dengan Leeds United pada Ahad.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.