Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Rano Izhar penerima Anugerah Ketabahan Ekstrem 2019; turut diiktiraf Dewan Penghormatan Seni Bela Diri Antarabangsa

Bekas jaguh bina badan Singapura, Dr Rano Izhar Rahmat, 55 tahun, mengharumkan nama negara sekali lagi apabila beliau menjadi satu-satunya rakyat Singapura yang namanya diabadikan dalam Dewan Penghormatan Seni Bela Diri.

Anggaran Waktu Membaca:
Rano Izhar penerima Anugerah Ketabahan Ekstrem 2019; turut diiktiraf Dewan Penghormatan Seni Bela Diri Antarabangsa

Dr Rano Izhar Rahmat bergambar beberapa anugerah yang diterima dalam kerjayanya. (Gambar: BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Bekas jaguh bina badan Singapura, Dr Rano Izhar Rahmat, 55 tahun, mengharumkan nama negara sekali lagi apabila beliau menjadi satu-satunya rakyat Singapura yang namanya diabadikan dalam Dewan Penghormatan Seni Bela Diri Antarabangsa 2019 (Action Martial Arts Hall of Honours 2019).

Lebih membanggakan lagi, beliau turut dinobat sebagai penerima Anugerah Ketabahan Ekstrem bagi tahun ini.

Hanya 2 individu sahaja yang menerima anugerah berprestij itu. (Gambar ihsan: Rano Izhar)

Anugerah berprestij daripada pertubuhan seni mempertahankan diri yang bertaraf dunia itu mengiktiraf sumbangan para pakar perubatan sukan dan senaman dari merata dunia dalam menghasilkan kajian-kajian saintifik bagi bidang berkenaan sepanjang beberapa tahun yang lalu. 

Pada tahun ini, anugerah berprestij itu diberikan hanya kepada dua individu iaitu Dr Robert Goldman, tokoh berpengaruh dalam bidang perubatan sukan dan senaman serta penggiat seni bela diri dan juga Dr Rano.

“Anugerah ini sangat bermakna bagi saya. Saya tidak menyangka boleh menerima anugerah seperti ini tetapi saya harus mengatakan bahawa ia bukan untuk saya sahaja. Ia bagi semua yang telah banyak membantu saya,” kata lulusan Sekolah Perubatan Harvard itu.

BUKAN SEKADAR JAGUH BINA BADAN

Menurut bekas profesor Sekolah Perubatan Kecergasan Khusus di Institut Teknologi Kecergasan di Florida itu, para individu seperti Dr Goldman juga banyak menyumbang kepada kejayaannya.

Dr Rano Izhar berjabat tangan dengan Dr Robert Goldman. (Gambar ihsan: Rano Izhar)

Sejak mengenali Dr Goldman pada 1994 yang turut merupakan Pengerusi Suruhanjaya Perubatan Antarabangsa, Dr Rano sudah diundang ke beberapa sidang antarabangsa untuk mengongsi kajian-kajian beliau mengenai topik-topik yang berkaitan dengan perubatan sukan dan senaman.

“Di peringkat antarabangsa, saya sudahpun menyampaikan lebih 10 ceramah di pelbagai sidang sepanjang kerjaya saya. Namun, di Singapura, saya rasa ramai belum mengetahui tentang hal ini. Mereka hanya mengenali saya sebagai seorang ahli bina badan dan mantan Presiden Persekutuan Bina Badan dan Kecergasan Singapura (SBBF),” kata pemenang pingat perak Kejohanan Dunia Musclemania 2004 itu.

Hakikatnya, sepanjang lebih 20 tahun menyumbang tenaga dan kepakaran kepada bidang tersebut, Dr Rano berjaya mencipta nama di persada antarabangsa. Lebih menarik lagi, beliau juga sering merupakan satu-satunya wakil dari Singapura, bahkan dari seluruh Asia Tenggara yang giat menyampaikan ceramah di sidang-sidang tersebut selaku penasihat Dewan Kemasyuran Sukan Antarabangsa (ISHOF).

Dr Rano Izhar anggota penasihat antarabangsa ISHOF. (Gambar ihsan: Rano Izhar)

Anugerah yang disampaikan kepada Dr Rano di Atlantic City, New Jersey pada Mac tahun ini hanya merupakan salah satu daripada beberapa pengiktirafan yang diterimanya sepanjang dua dekad dalam industri perubatan sukan.

Antaranya, beliau pernah menerima Anugerah Sumbangan Cemerlang Akademi Perubatan Antipenuaan Sedunia (WAAM) pada 2012, meraih ‘fellowship’ daripada Pertubuhan Perubatan Sukan dan Senaman Malaysia (SSEMM) dan dihadiahkan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Akademi Perubatan Antipenuaan Amerika (A4M) pada tahun lalu.

“Sebetulnya, sukan bina badan adalah salah satu hobi saya. Minat mendalam saya adalah dalam perubatan sukan dan senaman. Tanpa disedari, saya berjaya menempah tempat, berdiri sama tinggi dengan penceramah-penceramah terkemuka dari seluruh dunia. Saya bersyukur ia telah membawa saya ke menara gading,” ujar Dr Rano dengan penuh rendah diri.

DISIPLIN DIRI, SOKONGAN KELUARGA KUNCI KEJAYAAN

Ditanya tentang rahsia di sebalik kejayaan yang dikecapinya, Dr Rano berkata bahawa faktor keluarga memainkan peranan penting dalam kehidupan beliau.

“Kali pertama saya diundang untuk memberi ceramah adalah di salah sebuah sidang di Las Vegas. Bayangkan, 6,000 doktor dari seluruh dunia hadir untuk mendengar ceramah anda. Saya tidak pernah melihat jumlah doktor sebanyak itu berhimpun di satu-satu dewan.

Kerjaya beliau telah membawanya bertemu dengan pelbagai bintang dari seluruh dunia, antaranya Jason Statham (dua dari kiri). (Gambar ihsan: Rano Izhar)

"Saya paling gementar ketika membuat persiapan bagi segmen soal jawab. Saya terus menelefon isteri saya (di Singapura). Saya memberitahunya bahawa saya takut tidak mampu menjawab soalan-soalan mereka. Beliau berkata saya harus memberanikan diri. Saya telah jauh merantau. Saya harus melakukan tugas saya dengan baik,” kongsi bapa kepada empat orang anak itu.

Dengan kata-kata perangsang isterinya Cik Aniya Kulish, beliau akhirnya berjaya menjawab soalan-soalan dengan tenang dan mendapat sambutan baik daripada para peserta sidang.

Dalam pada itu, Dr Rano masih berpegang teguh kepada cara bapanya, Encik Rahmat Mohd Sah, seorang bekas komando dalam Tentera Nasional Indonesia, mengasuh dan membesarkan beliau dan 10 lagi adik-beradiknya dengan penuh disiplin.

Sejak berusia enam tahun lagi, beliau dan adik-beradiknya diajar dua jenis silat – Silat Salewa dan Silat Sunda. Meskipun mereka bermula di peringkat yang sama, bapa mereka akan menilai sama ada seseorang anak itu layak ke peringkat seterusnya.

“Walaupun kami boleh membentuk sebuah pasukan bola sepak, kami mesti belajar silat dulu sebelum kami boleh keluar bermain bola sepak!” kata Dr Rano.

HASRAT BAWA SILAT KE AMERIKA SYARIKAT

Anugerah yang diterimanya baru-baru ini memberi motivasi kepada beliau untuk terus mengembangkan silat di peringkat antarabangsa.

“Saya mahu silat berkembang di Amerika Syarikat. Saya mahu silat dikenali oleh orang Barat di situ. Mereka hanya mempelajari tentang seni mempertahankan diri dari China dan Jepun. Namun, seni mempertahankan diri dari sini tidak dikenali,” ujar penggiat silat yang juga merupakan penasihat saintifik kepada Institut Silat Sunda.

Dr Rano merancang untuk mengembangkan silat melalui kenalan-kenalan beliau yang berpengaruh di Amerika Syarikat seperti tokoh Action Martial Arts Alan Goldberg dan Dr Robert Goldman.

Pada masa yang sama, beliau yakin ia dapat membantu usaha sahabat karibnya, Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) Sheik Alau'ddin Yacoob Marican untuk meletakkan silat di persada dunia sebagai salah satu acara yang menawarkan pingat di Sukan Olimpik 2032.

“Saya tidak perlu membuang masa untuk bermula dengan tangan kosong. Mereka (Encik Alan Goldberg dan Dr Robert Goldman) sudahpun memperkenalkan saya dengan para jaguh seni mempertahankan diri seperti Don The Dragon Wilson dan Cynthia Rocktop. Saya hanya perlu mencari peluang. Sedikit demi sedikit, Insya Allah, silat akan dikenali,” kata Dr Rano.

Dr Rano dengan Don The Dragon Wilson. (Gambar ihsan: Rano Izhar)

Tambah beliau lagi, bapanya selalu mengingatkannya:

“Tiada yang mudah… Rano harus ikhlas. Jika tidak, Rano tidak akan kuat (menempuh cabaran)!”

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan