Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Putri Syaliza pemain bola sepak wanita pertama S'pura ditawarkan biasiswa sukan luar negara

Bintang pasukan bola sepak wanita negara Putri Nur Syaliza Sazali mencipta sejarah menjadi pemain wanita pertama ditawarkan biasiswa sukan di luar negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Putri Syaliza pemain bola sepak wanita pertama S'pura ditawarkan biasiswa sukan luar negara

Bintang pasukan bola sepak wanita negara Putri Nur Syaliza Sazali. (Gambar-gambar: FAS)

Diterbitkan : 09 Jan 2021 09:19AM Dikemas Kini : 09 Jan 2021 01:18PM

SINGAPURA: Bintang pasukan bola sepak wanita negara Putri Nur Syaliza Sazali mencipta sejarah menjadi pemain wanita pertama ditawarkan biasiswa sukan di luar negara.

Perkembangan yang membanggakan ini didedahkan oleh laman Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada Jumaat (8 Jan).

Pemain penyerang, yang akan berusia 18 tahun pada Mac nanti, berlepas ke Universiti Cumberland semalam (8 Jan) setelah menerima biasiswa empat tahun yang ditawarkan oleh sebuah universiti privet di Lebanon, Tennessee di Amerika Syarikat.

Di sana nanti, Putri akan mengikuti kursus dengan pengkhususan dalam bidang Pengurusan Sukan dan menyertai pasukan bola sepak universiti itu, yang dikenali sebagai Cumberland Pheonix.

Bintang pasukan bola sepak wanita negara Putri Nur Syaliza Sazali. (Gambar-gambar: FAS)

Pasukan itu menyertai Pertandingan Mid-South Conference Persatuan Atletik Antara Kolej Nasional (NAIA) dan sedang bersiap sedia bagi musim baru, yang akan bermula pada pertengahan Februari.

Didorong oleh minatnya dalam sukan bola sepak dan keinginan untuk terus menajamkan kemahirannya di luar negara, Putri mula meneroka peluang untuk mendapatkan biasiswa bola sepak di luar negara pada pertengahan tahun lalu.

Ini juga dengan sokongan dan semangat jitu daripada kedua-dua ibu bapanya.

Proses itu memerlukan dia menyiapkan kompilasi video yang menyerlahkan kehebatannya bermain bola sepak.

Putri menumpukan usahanya kepada Amerika Syarikat memandangkan sistem sukan kolej di sana lebih berkesan. Namun Putri akui bahawa dia tidak menaruh harapan tinggi.

"Secara jujur, saya tidak letakkan harapan sejauh mana peluang saya diterima dan saya hanya mahu mencuba nasib," kata dia seperti yang dilaporkan oleh laman FAS.

Lantaran itu, dia terkejut apabila menerima tawaran Cumberland lewat bulan September lalu setelah tertarik dengan corak permainan pasukan itu di laman YouTube semasa melakukan kajiannya.

Menurut FAS, Putri juga mendapati universiti itu memberi tumpuan khas kepada para atlit mereka - satu ciri yang dinilai tinggi oleh Putri.

FAS menambah, tiada anggota keluarga Putri yang akan menemaninya ke sana disebabkan sekatan perjalanan akibat COVID-19.

Sekalipun demikian, Putri tetap ghairah untuk mengorak langkah seterusnya dalam kerjaya bola sepaknya.

Putri sudah menyarung jersi pasukan negara sejak penampilan sulungnya pada Mac 2018. Walaupun disenaraikan sebagai pemain simpanan, Putri tidak mensia-siakan peluangnya apabila ditampilkan dalam perlawanan persahabatan menentang Maldives di Stadium Negara dengan pemain itu menjaringkan gol pertama Singapura dalam kemenangan 2-0 ke atas pasukan tersebut.

Pada usia 14 tahun, dia menjadi pemain dan penjaring gol termuda Singapura di peringkat antarabangsa.

Status itu kini dipegang oleh seorang lagi pemain berbakat iaitu Danelle Tan.

Pemain yang suka merendah diri itu sudah menyarung jersi pasukan negara sebanyak lima kali dan dia berharap dapat meraih pendidikan bola sepak yang terbaik di Amerika, yang merupakan negara yang pernah menjulang Piala Dunia Wanita sebanyak empat kali.

"Saya akan melakukannya perlahan-lahan secara berperingkat tetapi saya benar-benar berharap untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang di luar negara ini dan mudah-mudahan ia membolehkan saya bermain secara profesional di luar negara satu hari nanti," kata Putri, seperti yang dipetik laman FAS.

Putri juga berharap ini akan dapat mendorong anak-anak muda yang lain.

"Saya berharap dengan biasiswa sukan yang saya perolehi ini akan mendorong gadis-gadis di luar sana untuk memburu minat mereka dalam bola sepak memandangkan mereka kini tahu mereka boleh mengecapinya," tambah Putri. "Kita hanya perlu bekerja keras dan yakin dengan diri sendiri dan semuanya akan berjalan dengan baik."

Putri semasa dalam perlawanan di sekolahnya Queensway Secondary, pada 2018. (Gambar: FAS)

Ketua Akar Umbi dan Bola Sepak Wanita, Julie Teo menambah: "Kami sangat gembira Putri menerima biasiswa ini menerusi bola sepak untuk masuk ke Universiti Cumberland. Ini menunjukkan bahawa kita mempunyai bakat dalam pasukan bola sepak wanita dan ini sesuatu yang perlu kita teruskan.

"Ia juga begitu menggalakkan apabila mendapat tahu semakin ramai bakat dalam masyarakat bola sepak wanita di negara kita dan saya berharap ini akan memberi inspirasi dan mendorong gadis-gadis lain untuk berusaha gigih supaya berjaya dalam bola sepak."

Cik Teo menambah, Putri adalah contoh terbaik kepada anak-anak muda yang mahu mengejar minat dalam bidang bola sepak namun pada masa yang sama tidak mengabaikan pelajaran mereka.

"Kami menanti kepulangan Putri, di mana dia akan menambah nilai dalam masyarakat bola sepak wanita kita bersama-sama para pemain lain yang sedang berada di luar negara." 

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan