Skip to main content

Sukan

Pusat Sukan Queenstown dibuka semula 8 Ogos dengan kemudahan dinaik taraf

Anggaran Waktu Membaca:
 Pusat Sukan Queenstown dibuka semula 8 Ogos dengan kemudahan dinaik taraf

Pusat Sukan Queenstown yang dinaik taraf ini direka untuk kegunaan orang awam dan juga atlet berprestasi tinggi. (Gambar: SportSG)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 05:40PM
SINGAPURA: Pusat Sukan Queenstown yang baru diubah elok akan dibuka semula secara rasmi pada Sabtu (8 Ogos) selepas menjalani kerja-kerja pembangunan semula selama tiga tahun.

Kemudahan yang dinaik taraf ini direka untuk berkhidmat kepada masyarakat awam dan juga atlet berprestasi tinggi, dengan ruang-ruang baharu yang memenuhi keperluan pelbagai peringkat penyertaan sukan.

Antara penambahan utama ialah sebuah bangunan tambahan baharu yang menempatkan gim ActiveSG berkonsepkan pelan terbuka seluas kira-kira 1,000 meter persegi serta dua bilik aktiviti.

Gim tersebut dilengkapi dengan peralatan latihan kekuatan konvensional di samping mesin HUR, yang menggunakan teknologi udara mampat bagi menyediakan senaman yang lebih selamat dan mesra pengguna untuk warga emas, insan berkeperluan khas (OKU), serta mereka yang mempunyai masalah pergerakan.
 
Related article image
Gim berkonsepkan pelan terbuka di bangunan tambahan baharu ini dilengkapi dengan peralatan latihan kekuatan konvensional dan juga inklusif. (Gambar: SportSG)
"Penting untuk kita memastikan warga emas dan insan berkeperluan khas... dapat menggunakan kemudahan ini dengan selesa. Oleh itu, penganjuran program dan keperluan ruang perlu difikirkan secara teliti dari awal, bukannya sekadar fikiran sampingan," kata Ketua ActiveSG, Tan Hock Leong.

Pusat sukan ini juga merangkumi pelbagai kemudahan mesra akses, seperti pengangkat kolam mudah alih di kolam renang pertandingan untuk golongan berkeperluan khas, laluan susur (ram), dan lif utama yang menghubungkan pelbagai bahagian kemudahan tersebut.

Bilik persalinan dan tandas diubah elok dan kini dilengkapi dengan katil persalinan yang boleh dilaraskan ketinggiannya.
Related article image
Mesin HUR gunakan teknologi udara mampat untuk menyediakan senaman yang lebih selamat dan mesra pengguna bagi warga emas, insan berkeperluan khas, dan mereka yang mempunyai masalah pergerakan.
KEMUDAHAN UNTUK ATLET ELIT

Selain sukan kemasyarakatan, pusat ini akan terus menyokong pembangunan atlet elit dengan kemudahan latihan khusus.

Padang ragbi dinaik taraf dengan sistem rumput tiruan yang direka khas mengikut piawaian World Rugby.

Bilik persalinan khas untuk pasukan juga ditambah, manakala trek larian dipasang semula dengan permukaan baharu.
Related article image
Padang ragbi ini dibina mengikut piawaian World Rugby, dengan kapasiti tempat duduk stadium seramai 1,000 orang. (Gambar: SportSG)
Antara penambahan paling penting di pusat ini ialah kemudahan terjun darat baharu, yang dibina bersebelahan dengan kolam terjun ikonik sedalam 4.5 meter di pusat sukan tersebut.

Kemudahan ini menyediakan persekitaran yang selamat dan terkawal untuk penyelam Team Singapore berlatih melakukan pelbagai teknik terjunan tanpa impak air.
Related article image
Antara penambahan paling penting di pusat ini ialah kemudahan terjun kering baharu, yang dibina bersebelahan dengan kolam terjun ikonik sedalam 4.5 meter di pusat sukan tersebut.
HARGAI WARISANNYA

Dibuka pada tahun 1970, lokasi ini merupakan kompleks sukan kejiranan pertama di Singapura dan pernah menjadi tuan rumah bagi perbarisan Hari Kebangsaan serta pelbagai acara sukan.

"Dengan warisan sukan Queenstown yang kukuh, kami berharap dapat terus menyediakan peluang kepada masyarakat untuk berhubung semula melalui sukan, sambil menghargai dan meraikan sejarah kita," kata Encik Tan.

Sebagai sebahagian daripada pembangunan semula, ciri-ciri ikonik seperti rekaan bumbung kompleks yang unik dikekalkan dan digabungkan ke dalam reka bentuk bangunan baharu.

Pasu pokok bersalut batu yang sedia ada serta dinding penahan di bahagian pintu masuk kolam renang juga dipelihara.

Encik Lim Hong Khiang, Ketua Kumpulan Prasarana Sukan di Sport Singapore (SportSG), berkata tindakan mengekalkan elemen-elemen yang biasa dilihat ini membantu penduduk lama mengekalkan hubungan emosi dengan lokasi ini walaupun ia memasuki lembaran baharu.

"Mereka melihat perkara tertentu dipelihara, seperti reka bentuk bumbung, pasu pokok daripada batu, dan lukisan mural. Ini sebenarnya mengimbau kenangan lalu," katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata kemudahan yang dinaik taraf ini dijangka dapat menarik minat penduduk baharu, terutamanya keluarga muda yang berpindah ke flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) berdekatan.

Melangkah ke hadapan, SportSG menyatakan pusat ini akan terus meraikan warisannya.

Bermula tahun depan, pusat ini merancang untuk menampilkan lukisan mural baharu serta menyediakan dewan serbaguna warisan yang interaktif dan mesra warga emas.

SportSG menambah ia akan terus melibatkan masyarakat dalam pelbagai cara untuk menyumbang kepada pusat sukan ini dan memupuk rasa memiliki bersama.
Sumber : CNA/NK/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita