Puluhan diberkas susuli pertempuran di Paris sambut kemenangan PSG
Anggota polis dikerahkan di sebuah jalan raya di mana para penyokong PSG melepaskan bunga api. (Gambar: REUTERS/Abdul Saboor
PARIS: Polis pada Sabtu (30 Mei) memberkas berpuluh-puluh individu dalam pertempuran yang tercetus di ibu kota Perancis itu sedang ribuan orang membanjiri jalan-jalan raya untuk meraikan kemenangan Paris Saint-Germain (PSG) dalam pusingan akhir Liga Juara-Juara.
Seramai 22,000 anggota polis dikerahkan di seluruh Perancis bagi perlawanan tersebut, termasuk 8,000 di Paris, selepas kekacauan mencemari kemenangan PSG dalam kejohanan itu tahun lalu. Perkhidmatan trem di Paris dihentikan, beberapa stesen metro ditutup dan perkhidmatan bas digantung di beberapa kawasan dalam usaha mengurangkan gangguan.
Menurut polis Paris, 79 individu diberkas di bandar itu, dengan 45 daripada mereka dibawa ke dalam tahanan. Enam kenderaan dan dua premis perniagaan turut mengalami kerosakan. Seorang pegawai polis juga cedera.
Ketika para penyokong meraikan kemenangan dramatik PSG menerusi penentuan penalti, sekitar 20,000 orang berhimpun di Champs-Elysees, kata polis.
Premis-premis perniagaan memasangkan papan pada tingkap mereka menjelang perlawanan itu bagi mengelakkan kejadian berulang seperti tahun lalu apabila sekumpulan belia memecah masuk dan merosakkan kedai-kedai di Champs-Elysees dan jalan-jalan lain. Ratusan orang ditangkap ketika itu.
24 suar dan sekitar 100 bunga api dirampas pada Sabtu, manakala sebuah perhentian bas dimusnahkan berhampiran Champs-Elysees.
Namun, bunyi bunga api bergema di seluruh Paris selepas pasukan Perancis itu melengkapkan kemenangan mereka di Budapest.
Polis menyatakan sebuah kedai roti dan sebuah restoran mengalami kerosakan berhampiran Stadium Parc des Princes milik PSG, di mana puluhan ribu orang berkumpul di dalam stadium untuk menyaksikan perlawanan tersebut, manakala antara 4,000 hingga 5,000 orang berada di luar, dengan objek dibaling ke arah para pegawai polis.
Kira-kira 150 orang "cuba memasuki stadium menerusi salah satu pintu masuk" tetapi polis berjaya menghalang mereka, kata jurucakap polis.
Sebahagian daripada mereka juga cuba mendirikan halangan menggunakan basikal-basikal sewa, namun berjaya disuraikan polis.
Seorang wartawan AFP di lokasi berkata pertempuran tercetus antara polis dan penyokong berhampiran stadium itu, dan pihak berkuasa bertindak dengan melepaskan gas pemedih mata selepas bunga api dibaling ke arah mereka.
Menteri Dalam Negeri Perancis Laurent Nunez berkata terdapat "sistem yang sangat kukuh dan mantap" untuk membendung keganasan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.