PSM timbang undang pasukan luar sertai Liga Sepak Takraw M'sia
(Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sedang menimbangkan untuk menjemput pasukan dari luar negara untuk merancakkan persaingan Kejohanan Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) 2021/2022 di Johor Bahru pada Mac ini.
Pemangku Presiden PSM Akramuddin Abdul Aziz Safiat berharap PSM dapat memancing pasukan luar negara yang memiliki tahap permainan setanding pasukan tempatan bagi memeriahkan persaingan yang dijangka bermula 20 hingga 26 Mac sebaik saja kempen Liga Perdana dan Divisyen 1 STL melabuhkan tirainya.
Beliau juga percaya Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) akan 'merestui' hajat PSM untuk membawa pasukan luar bertanding dalam kejohanan itu selepas isu larangan pemain import beraksi pada persaingan STL musim ini selesai.
"Kita dah lihat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mempunyai keakraban yang begitu baik dengan Presiden ASTAF Abdul Halim Kader, jadi tiada masalah bagi pihak penganjur untuk membawa pasukan dari negara luar sertai kejohanan ini," katanya dalam sidang media selepas pelancaran STL 2021/2022 pada Jumaat lalu.
Turut hadir Presiden MOM Mohamad Norza Zakaria.
Pada Rabu lalu, ASTAF memberi lampu hijau kepada pasukan yang bertanding dalam STL musim ini untuk menggunakan khidmat pemain import selepas badan induk sukan itu mengeluarkan amaran mana-mana pemain import boleh dikenakan tindakan sekiranya beraksi dalam pertandingan tersebut apabila PSM bukan lagi ahli gabungan mereka.
Mohamad Norza pula berterima kasih kepada ASTAF kerana memberi laluan untuk pasukan yang bertanding dalam STL membenarkan pemain import beraksi selain menjelaskan hubungan baik MOM dengan mereka telah membantu menyelesaikan kemelut dihadapi PSM dan penganjur berhubung isu berkenaan sebelum ini.
Setiausaha Agung PSM Abidullah Salleh, ketika ditemui pemberita, memaklumkan tiga bekas ahli gabungan persatuan iaitu Selangor, Putrajaya dan Sarawak boleh memohon untuk kembali bersama PSM selepas Mesyuarat Agung Tahunan berlangsung pada 12 Feb.
"Saya percaya pucuk pimpinan baru PSM serta Ahli Majlis Tertinggi akan menimbangkan permohonan Selangor, Putrajaya dan Sarawak sekiranya mereka berminat untuk kembali ke pangkuan kita," katanya.
Kemelut PSM bermula pada Mei lalu apabila ASTAF menyingkirkan persatuan itu manakala bekas Presidennya Ahmad Ismail digantung selama 15 tahun menyusuli tindakan beliau menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan salinannya kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF.
Keputusan itu menyaksikan 11 ahli gabungan, yang dikenali sebagai G11, mengumumkan keluar daripada PSM namun majoriti kembali menyertai persatuan tersebut manakala bakinya dilaporkan sedang berusaha mewujudkan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia.
Pada Oktober lalu, lapan negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah membuat keputusan untuk kembali ke pangkuan PSM.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.