Proses pemilihan pasukan bola sepak ke-10 untuk sertai Liga Perdana Singapura masih dijalankan: FAS
Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menyatakan hari ini (21 Feb) ia belum lagi menerima kelab baharu ke Liga Perdana Singapura (SPL).
(Gambar: Facebook/SPL)
Dalam respons kepada pertanyaan oleh Mediacorp, seorang jurucakap FAS berkata ia maklum tentang "desas-desus" mengenai kemasukan sebuah kelab ke dalam SPL.
"FAS mengesahkan bahawa ia belum lagi selesai proses pemilihannya dan akan mengesahkan perubahan kepada kelab-kelab bola sepak yang menyertai SPL hanya selepas proses itu selesai dijalankan," kata jurucakap itu.
Ini berlaku beberapa hari selepas catatan media sosial Tengah Football Club menyatakan ia telah menerima "kelulusan secara berprinsip" untuk bertanding dalam musim SPL yang seterusnya.
"Kami berbesar hati mengumumkan bahawa Tengah FC sedang bersiap sedia bagi musim menyeronokkan yang akan datang," menurut kelab itu.
"Siap sedia untuk menyaksikan semangat, dedikasi dan kemahiran pasukan kami apabila kami bersaing dengan pasukan-pasukan paling hebat dalam liga itu!"
FAS menyatakan ia telah menerima beberapa permohonan daripada kelab-kelab yang menyatakan minat untuk menyertai liga mereka.
Ia menambah bahawa sedang rundingan dijalankan dengan kelab-kelab yang berminat, FAS mungkin perlu menawarkan kelulusan secara berprinsip kepada sesebuah kelab.
Ini bagi membolehkan kelab itu mengambil langkah selanjutnya dengan para penaja dan agensi-agensi lain bagi membolehkannya memenuhi "prasyarat tertentu yang ketat" sebelum kelulusan tanpa syarat diberikan untuk menyertai SPL.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.