Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Prestasi S'pura hambar di Sukan Asia 2018; namun atlit muda kian menyerlah

Singapura mempamerkan prestasi hambar, malah kurang menyerlah daripada yang dijangkakan di Sukan Asia 2018, namun di sebalik prestasi itu, para atlit yang membuat penampilan sulung berjaya memperlihatkan bakat mereka. 

Anggaran Waktu Membaca:
Prestasi S'pura hambar di Sukan Asia 2018; namun atlit muda kian menyerlah

Feng Tianwei kelihatan kecewa di Sukan Asia 2018. (Gambar: Amir Yusof)

Diterbitkan : 01 Sep 2018 08:50PM Dikemas Kini : 02 Sep 2018 02:39PM

JAKARTA: Singapura mempamerkan prestasi hambar, malah kurang menyerlah daripada yang dijangkakan di Sukan Asia 2018, namun di sebalik prestasi itu, para atlit yang membuat penampilan sulung berjaya memperlihatkan bakat mereka. Ini menurut Ketua Prestasi Tinggi bagi Sukan dan Kehidupan Atlit di Institut Sukan Singapura, Richard Gordon pada Sabtu (1 Sep).

Bercakap kepada para wartawan di sidang media yang diadakan bagi menggulung Sukan Asia Team Singapore di Indonesia pada Sabtu (1 Sep), Encik Gordon berkata: "Secara keseluruhannya, saya rasa kami menunjukkan prestasi kurang baik berbanding jangkaan awal. Matlamat kami adalah untuk meraih lebih banyak pingat berbanding jumlah pingat yang diperolehi semasa Sukan Asia 2014. Namun, kami tidak dapat mencapai matlamat tersebut."

Setakat tengah hari Sabtu (1 Sep), Singapura sudah memperolehi empat pingat emas, empat pingat perak dan 14 pingat gangsa.

Singapura membawa pulang lima pingat emas, enam pingat perak dan 13 pingat gangsa semasa Sukan Asia diadakan di Incheon, Korea Selatan.

"Tetapi ini bukan sesuatu yang mudah. Kami perlu memahami kisah-kisah di sebalik pingat tersebut. Kami perlu meneliti kisah-kisah di sebalik sukan dan persaingan tersebut. Kami mencatat prestasi baik bagi beberapa acara, namun menunjukkan prestasi kurang baik bagi acara-acara yang lain," tambah Encik Gordon.

Chef de Mission Team Singapore, Lee Wung Yew, bagaimanapun menegaskan bahawa pasukan Singapura "mempamerkan prestasi cemerlang" di temasya sukan tersebut.

(Gambar Joseph Schooling di Sukan Asia 2018. Gambar: Jeremy Lee/Reuters)

(Gambar Joseph Schooling di Sukan Asia 2018. Gambar: Jeremy Lee/Reuters)

Encik Lee turut mengumumkan bahawa Team Singapore mendapat gred "B" bagi edisi Sukan Asia kali ini.

Meskipun menerima gred tersebut, Encik Gordon menekankan bahawa pasukan itu sedang menjalani peralihan, terutamanya dengan para atlit muda yang membuat penampilan sulung bagi menggantikan para atlit mapan.

Beliau menarik perhatian bahawa para atlit yang membuat penampilan sulung membentuk 75 peratus kontinjen Singapura. Mereka juga membentuk 75 peratus daripada jumlah atlit yang memperolehi sebutir pingat di Sukan Asia kali ini. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan