Presiden Persatuan Bola Sepak Jordan sedia beri kerjasama dalam semakan badan kehakiman AFC
Presiden Persatuan Bola Sepak Jordan, Putera Ali bin Hussein, berkata beliau bersedia untuk memberi kerjasama penuh dalam sebarang proses semakan oleh badan kehakiman Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC).
Presiden Persatuan Bola Sepak Jordan, Putera Ali bin Al Hussein, sebelum perlawanan separuh akhir Piala Asia AFC antara Jordan dengan Korea Selatan di Stadium Ahmed bin Ali, Al Rayyan, Qatar, pada 6 Februari 2024. (Gambar: REUTERS/Thaier Al-Sudani)
- Jordan Football Association president Prince Ali bin Hussein is prepared to cooperate with the AFC judiciary after his remarks about the AFC Congress in Tokyo were referred for consideration.
- He alleged that delegates were not given the opportunity to speak or debate, but the AFC said no such request had been made and that allegations of coercion, threats or bribery required strong evidence.
- Prince Ali explained that his remarks were intended to clarify the FIFA presidential election process and the importance of transparency, not to accuse individuals; he also stressed that Jordan would decide its vote independently.
- The AFC supports Gianni Infantino’s re-election bid next March, in contrast to its opposition three months ago to the proposed FIFA Forward Enterprise, which was later withdrawn.
- Presiden Persatuan Bola Sepak Jordan, Putera Ali bin Hussein, bersedia bekerjasama dengan badan kehakiman AFC selepas kenyataannya mengenai Kongres AFC di Tokyo dirujuk untuk pertimbangan.
- Beliau mendakwa perwakilan tidak diberi ruang berucap atau berbahas, tetapi AFC berkata tiada permintaan sedemikian dibuat dan tuduhan paksaan, ugutan atau rasuah memerlukan bukti kukuh.
- Putera Ali menjelaskan kenyataannya bertujuan menerangkan proses pemilihan Presiden FIFA serta kepentingan ketelusan, bukan menuduh individu; beliau juga menegaskan Jordan akan menentukan undiannya secara bebas.
- AFC menyokong usaha Gianni Infantino dipilih semula pada Mac depan, berbeza daripada bantahannya tiga bulan lalu terhadap cadangan FIFA Forward Enterprise yang kemudian dibatalkan.
Ia menyusuli kenyataan beliau yang menuduh Presiden FIFA, Gianni Infantino, mempergunakan Kongres AFC di Tokyo minggu lalu bagi tujuan politik.
Dalam catatan di platform X pada lewat Rabu (28 Okt), Putera Ali berkata beliau menghormati AFC serta badan kehakimannya dan akan memberi kerjasama penuh dalam sebarang proses yang dijalankan.
Beliau turut menegaskan bahawa Persatuan Bola Sepak Jordan akan membuat keputusan secara bebas dalam pemilihan Presiden FIFA, selaras dengan perlembagaan badan induk bola sepak dunia itu.
AFC RUJUK KENYATAAN PUTERA ALI KEPADA BADAN KEHAKIMAN
Dalam kongres luar biasa AFC di Tokyo pada Jumaat lalu (23 Okt), Presiden AFC, Sheikh Salman bin Ibrahim Al-Khalifa, menyuarakan sokongan terhadap usaha Encik Infantino untuk dipilih semula sebagai Presiden FIFA.
Selepas kongres tersebut, Putera Ali mendakwa bahawa para anggota perwakilan tidak dibenarkan berucap, mengemukakan soalan atau berbahas.
Beliau turut menyifatkan hari terakhir kongres itu sebagai berunsur politik semata-mata atas kehendak Encik Infantino.
FIFA tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan Reuters untuk mengulas kenyataan Putera Ali.
Bagaimanapun, AFC pada Selasa (27 Okt) menyatakan bahawa Putera Ali mahupun wakil anggota persatuan lain tidak pernah membuat permintaan untuk berucap.
AFC juga menegaskan bahawa sebarang tuduhan mengenai paksaan, ugutan atau rasuah perlu disokong oleh bukti yang boleh dipercayai.
Badan itu kemudian menyatakan bahawa kenyataan Putera Ali akan dirujuk kepada badan kehakimannya untuk pertimbangan dan sebarang tindakan lanjut yang dianggap wajar.
PUTERA ALI JELASKAN KENYATAAN TERDAHULU
Putera Ali menjelaskan bahawa catatan awalnya mengenai kongres tersebut bertujuan menerangkan proses pengundian Presiden FIFA serta menekankan pentingnya ketelusan dalam pentadbiran bola sepak.
Beliau berkata kenyataannya bahawa sebarang pemilihan tidak seharusnya melibatkan paksaan, ugutan atau rasuah merupakan satu prinsip yang dikongsi oleh masyarakat bola sepak.
Menurutnya, kenyataan itu bukan tuduhan terhadap mana-mana individu.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang kebimbangan perlu dikemukakan kepada badan yang mempunyai bidang kuasa untuk menanganinya.
Putera Ali, yang sebelum ini lantang mengkritik kepimpinan FIFA, berkata beliau tidak akan memberikan sebarang ulasan lanjut selagi perkara tersebut masih dalam pertimbangan.
AFC belum memberikan maklum balas terhadap permintaan Reuters untuk mengulas catatan terbaharu beliau.
SOKONGAN AFC TERHADAP INFANTINO BERUBAH
Encik Infantino, yang menerajui FIFA sejak 2016, sedang berusaha untuk dipilih semula sebagai presiden badan itu pada Mac depan.
Sokongan AFC terhadap beliau menandakan perubahan ketara berbanding pendirian badan itu tiga bulan lalu.
Ketika itu, AFC menuduh FIFA melakukan "pencabulan kepercayaan yang serius" berhubung cadangan FIFA Forward Enterprise (FFE) untuk menjual kepentingan dalam kejohanan FIFA.
Cadangan tersebut kemudian dibatalkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.