Skip to main content

Sukan

Presiden FIFA seterusnya perlu jadi 'penjaga sukan bola sepak': Naib Presiden UEFA

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden FIFA seterusnya perlu jadi 'penjaga sukan bola sepak': Naib Presiden UEFA

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita UEFA Laura McAllister semasa kongres UEFA. (Gambar fail: Reuters/Gonzalo Fuentes)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 11:00PM
MANCHESTER: Naib Presiden UEFA Laura McAllister berkata mana-mana presiden FIFA pada masa depan perlu menjadi "penjaga sukan" yang mampu menyatukan bola sepak dunia, sedang tekanan terus meningkat terhadap presiden semasa Gianni Infantino menyusuli pelan pelaburan Piala Dunia yang dibatalkan.

Selepas bermesyuarat di Rabat pada Rabu (5 Ogos), kepimpinan FIFA mengesahkan semula sokongan terhadap Infantino, memohon maaf kepada 211 persatuan anggotanya atas kesilapan berkaitan pelan pelaburan Piala Dunia dan berjanji untuk mengkaji semula proses yang mencetuskan bantahan hebat daripada persatuan bola sepak kebangsaan.

Bagaimanapun, usaha FIFA untuk menamatkan krisis terbesar sepanjang kepimpinan Infantino itu dijangka tidak akan menghentikan penelitian terhadap kepimpinan dan tadbir urus badan tersebut menjelang pemilihan presiden pada 2027.

Cik McAllister berkata, mencari pencabar yang berwibawa kepada Infantino bukan sesuatu yang mudah kerana mana-mana calon memerlukan sokongan daripada seluruh keanggotaan bola sepak dunia, bukan hanya Eropah.

"Ia bukan semudah yang disangka ramai. Calon yang sesuai juga perlu mendapat tahap sokongan yang sewajarnya," tambah Cik McAllister.

"Terlalu banyak politik yang terlibat. Adalah penting untuk mendapatkan calon yang mampu menyatukan seluruh dunia bola sepak, bukan hanya Eropah dalam hal ini."

PEMBAHARUAN MENYELURUH

Mantan kapten pasukan wanita Wales itu menggesa pembaharuan menyeluruh dalam tadbir urus bagi memodenkan struktur kepimpinan bola sepak.

"Ia memerlukan perubahan yang benar-benar asas dalam budaya bagaimana kepimpinan bola sepak beroperasi, dan kita benar-benar memacu pemodenan sukan ini bagi memastikan bola sepak tidak ditadbir oleh kelompok tertentu atau individu, sebaliknya ditadbir secara demokratik," katanya.

Kenyataan Cik McAllister dibuat sedang penelitian terhadap Infantino semakin meningkat selepas beliau menarik balik rancangan untuk menubuhkan anak syarikat komersil dan menjual pegangan dalam hasil Piala Dunia pada masa depan, kepada pelabur luar ekoran tentangan hebat daripada pelbagai pihak dalam dunia bola sepak.

Cik McAllister memberitahu media pada Selasa (4 Ogos) bahawa sebarang peralihan kepimpinan FIFA perlu disertai dengan kembalinya nilai-nilai teras bola sepak, dengan sukan itu ditadbir demi kepentingan bola sepak dan bukannya kepentingan politik atau komersil.

"Sukan ini adalah untuk semua, daripada peringkat akar umbi hingga elit," katanya dalam satu wawancara.

"Ia bukan milik mana-mana satu pihak. Ia sama penting untuk kanak-kanak perempuan seperti juga kanak-kanak lelaki. Ia sepatutnya sampai ke setiap pelosok dunia, termasuk negara paling miskin dan juga negara yang paling berjaya."
Sumber : Reuters/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita