Skip to main content

Sukan

Presiden ASTAF Abdul Halim usul sepak takraw diperluas kepada pemain kelainan upaya fizikal

Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) Abdul Halim Kader mengusulkan agar sepak takraw diperkenalkan kepada golongan kurang upaya.

Anggaran Waktu Membaca:
Presiden ASTAF Abdul Halim usul sepak takraw diperluas kepada pemain kelainan upaya fizikal

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 16 Dec 2024 12:45PM Dikemas Kini : 16 Dec 2024 12:46PM
SINGAPURA: Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) Abdul Halim Kader mengusulkan agar sepak takraw diperkenalkan kepada golongan kurang upaya.

Ini termasuk mereka yang kurang daya pendengaran, tidak boleh bercakap dan hanya memiliki fungsi pada sebelah tangan sahaja.

Dalam surat cadangan ASTAF pada Ahad (15 Dis), Encik Abdul Halim turut memperincikan beberapa spesifikasi teknikal bagi pemain sepak takraw yang kelainan upaya.

Ini termasuk:

(1) Peralatan sepak takraw boleh diubah suai mengikut keperluan di mana kedudukan jaring harus diletakkan lebih rendah daripada jaring wanita

(2) Bola takraw boleh dibuat dengan berat yang separuh lebih ringan daripada bola takraw wanita, sama seperti bola latihan untuk pemain lelaki

(3) Jaring yang akan digunakan boleh dilaraskan mengikut ketinggian di bawah 1.42 meter untuk wanita

(4) Pakaian seragam atau jersi akan dikaji agar bersesuaian dengan keadaan pemain termasuk yang berkerusi roda dan bertongkat

Dalam pada itu, Encik Abdul Halim juga mencadangkan agar sepak takraw bagi pemain kurang upaya diadakan secara dalam bulatan yang disertai enam pemain pada satu-satu masa.

Demi memastikan terdapat peluang sama rata bagi pemain sepak takraw berkeupayaan khas, ASTAF dan ISTAF akan menghantar surat cadangan permainan sepak takraw bagi golongan kurang upaya kepada pihak berkuasa sukan dan pemerintah.

Ini selain menghubungi Majlis Sukan Paralimpik di setiap negara untuk mendapatkan sokongan terhadap pengenalan sukan sepak takraw kepada golongan kurang upaya di negara masing-masing.

"Kami amat menghargai jika pelbagai ahli persekutuan sepak takraw, anggota ISTAF kini boleh mencari atlet kelainan upaya khas yang boleh melibatkan diri dalam sukan ini dengan memberikan mereka peluang bermain permainan sepak takraw.

"Saya pasti mereka yang istimewa atau kelainan upaya fizikal ini boleh mencipta kesan untuk meluaskan jangkauan sepak takraw di Asia dan antarabangsa.

"Saya yakin pada 2025/2026, ISTAF boleh melaksanakan acara Sepaktakraw untuk Orang Kelainan Fizikal di pelbagai negara sebagai permulaan tetapi tidak terhad kepada Malaysia, Thailand, Indonesia, Iran, Singapura, India, Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah," ujar Encik Abdul Halim.
Sumber : BERITA Mediacorp/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita