Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Polis tangkap penyokong buat kacau di Liga Perancis

Polis Perancis membuat beberapa penangkapan pada Khamis (23 Sep)dan badan bola sepak mengadakan mesyuarat tergempar selepas berlaku beberapa kejadian keganasan membabitkan penyokong pada aksi pertengahan minggu Liga Perancis.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis tangkap penyokong buat kacau di Liga Perancis

Penyokong Marseille serbu padang setelah perlawanan Liga Perancis L1 antara Angers (ASCO) dan Marseille (OM), di stadium Raymond-Kopa, Angers pada 22 Sep 2021. (Gambar: JEAN-FRANCOIS MONIER/AFP)

Diterbitkan : 24 Sep 2021 09:25AM Dikemas Kini : 24 Sep 2021 09:37AM

PARIS: Polis Perancis membuat beberapa penangkapan pada Khamis (23 Sep)dan badan bola sepak mengadakan mesyuarat tergempar selepas berlaku beberapa kejadian keganasan membabitkan penyokong pada aksi pertengahan minggu Liga Perancis.

Bas yang membawa penyokong Bordeaux ke selatan Perancis bagi perlawanan menentang Montpellier dibaling dengan batu ketika meninggalkan lapangan terbang. 16 penyokong cedera ringan.

Satu lagi aksi antara Angers dan Marseille di Stadium Raymond Kopa pula terganggu selepas penyokong memasuki padang dan membaling suar.

Selepas keputusan seri 0-0, sekumpulan penyokong Marseille cuba menyerang penyokong Angers sebelum dileraikan oleh kakitangan keselamatan stadium.

Dua penyokong Marseille ditangkap atas peranan mereka dalam kejadian tersebut, kata pihak pendakwa.

Menteri Pendidikan Perancis yang turut bertanggungjawab untuk sukan, Jean-Michel Blanquer menyifatkan insiden itu sebagai 'keganasan yang tidak boleh diterima' dan menuntut tindakan lebih keras daripada pihak Liga.

"Ada individu yang sepatutnya dilarang daripada memasuki stadium pada masa depan jika berperangai seperti ini," kata Blanquer.

Susulan itu, pegawai Liga Perancis mengarahkan satu kawasan tempat duduk penyokong di Stadium Raymond Kopa ditutup bagi perlawanan menentang Metz, 3 Oktober ini.

Sementara itu, penyokong Marseille tidak dibenarkan masuk ke stadium di Lille pada tarikh sama selepas pegawai mengarahkan penutupan kawasan tempat duduk penyokong lawan.

Kejadian terbaru itu menyaksikan polis rusuhan terpaksa masuk campur apabila perlawanan antara Lens dan Lille pada Sabtu lalu dihentikan seketika apabila ada penyokong memasuki padang selepas babak pertama.

Secara tradisinya, bola sepak Perancis tidak berdepan masalah keganasan yang sama seperti yang sentiasa berlaku di England, Itali dan Jerman.

Sumber : AFP/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan