Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pocket Rocketman muncul Raja Pecut Asia; bawa pulang emas dari Korea Selatan

Jaguh berbasikal trek Malaysia, Mohd Azizulhasni Awang, membuktikan beliau berada dalam kelas tersendiri apabila muncul sebagai Raja Pecut Asia pada Isnin (21 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Pocket Rocketman muncul Raja Pecut Asia; bawa pulang emas dari Korea Selatan

Jaguh berbasikal trek Malaysia, Mohd Azizulhasni Awang. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 22 Oct 2019 08:30AM Dikemas Kini : 22 Oct 2019 08:32AM

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek Malaysia, Mohd Azizulhasni Awang, membuktikan beliau berada dalam kelas tersendiri apabila muncul sebagai Raja Pecut Asia pada Isnin (21 Okt).

Beliau meraih pingat emas bagi acara pecut lelaki individu di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2020 yang berlangsung di Korea Selatan dari 17 hingga 21 Okt.

Dalam aksi penentuan pingat emas, yang berlangsung di Velodrom Pusat Latihan Kebangsaan Jingcheon pada Isnin, pelumba berusia 31 tahun tersebut menewaskan pelumba Jepun Yuta Wakimoto 2-1.

The Pocket Rocketman, yang tewas pada pusingan pertama, kembali bangkit memenangi pusingan kedua untuk mengheret perlumbaan kepada pusingan penentuan.

Sebaik sahaja loceng berbunyi, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu, yang dikawal rapi oleh Wakimoto melakukan kayuhan sekuat tenaga sekali gus meninggalkan pelumba Jepun itu di tempat kedua.

Azizulhasni merekod masa 9.977 saat iaitu keempat terpantas di pusingan kelayakan.

Sebelum itu, beliau menyumbang pingat perak buat kem negara dalam acara keirin lelaki individu pada Jumaat (18 Okt) lalu.

Seorang lagi pelumba Malaysia, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, terlepas pingat gangsa apabila tewas 0-2 kepada pelumba Jepun Tomohiro Fukaya dalam aksi penentuan pingat gangsa.

Muhammad Shah Firdaus menduduki tempat keenam selepas merekodkan masa 10.159saat.

Dalam kategori junior pula, pelumba Malaysia Ahmad Safwan Ahmad Nazeri terlepas pingat gangsa acara pecut individu apabila tewas 0-2 kepada pelumba India Rojit Singh Yanglem dalam aksi penentuan pingat gangsa.

Awal dari itu, Ahmad Safwan meletakkan diri dalam kelompok lima terbaik selepas merekodkan masa 10.560s dalam pusingan kelayakan.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan