Skip to main content

Sukan

PM Anwar mahu cedok pengalaman, amalan terbaik SG anjur F1 jelang perlumbaan di Sepang

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim bertemu Pengarah Eksekutif Grand Prix (GP) Singapura Michael Roche bagi meneliti pengalaman dan amalan terbaik Singapura menjelang penganjuran perlumbaan Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar mahu cedok pengalaman, amalan terbaik SG anjur F1 jelang perlumbaan di Sepang

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim bertemu Pengarah Eksekutif Grand Prix Singapura Michael Roche menjelang penganjuran perlumbaan Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang pada Oktober. (Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 07:47AM
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim bertemu Pengarah Eksekutif Grand Prix (GP) Singapura Michael Roche bagi meneliti pengalaman dan amalan terbaik Singapura menjelang penganjuran perlumbaan Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober.

Dalam catatan Facebooknya pada Khamis (6 Ogos), PM Anwar berkata pertemuan itu bertujuan memastikan penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di SIC dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

Menurut PM Anwar, penganjuran acara bertaraf dunia itu dijangka membawa limpahan ekonomi menerusi peningkatan sektor pelancongan, peluang pekerjaan dan kegiatan perniagaan.

Ia juga dijangka akan meningkatkan keyakinan pelabur dan menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Kita komited memastikan penganjuran ini bukan sahaja memenuhi piawaian antarabangsa, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab sukan permotoran serantau, serta membawa manfaat yang meluas kepada rakyat dan ekonomi negara," kata PM Anwar.

GP BAHRAIN DIPINDAH KE SEPANG

Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) sebelum ini mengumumkan GP Bahrain 2026 akan berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Oktober menerusi kerjasama antara Malaysia dengan Bahrain.

Perlumbaan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Bahrain pada April.

Ia kemudian ditangguhkan ke Oktober menyusuli ketegangan geopolitik di Timur Tengah.

SIC pernah menjadi tuan rumah GP Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan tersebut digugurkan daripada kalendar Formula 1 menyusuli peningkatan kos penganjuran dan yuran pelesenan.
Sumber : Bernama/FD/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita