Skip to main content

Iklan

Iklan

Sukan

Pingat emas hadiah hari jadi Ratu Skuasy M'sia

Ratu Skuasy Malaysia Nicol David mendapat hadiah hari jadi yang tepat buat dirinya apabila memenangi pingat emas dalam acara perseorangan wanita di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 pada Ahad (26 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Pingat emas hadiah hari jadi Ratu Skuasy M'sia

Nicol David (kiri) beraksi di Sukan Asia 2018 (Gambar: Facebook/Nicol David/Majlis Sukan Negara Malaysia)

Diterbitkan : 27 Aug 2018 09:22AM Dikemas Kini : 27 Aug 2018 09:32AM

JAKARTA: Ratu Skuasy Malaysia Nicol David mendapat hadiah hari jadi yang tepat buat dirinya apabila memenangi pingat emas dalam acara perseorangan wanita di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Stadium Skuasy, Gelora Bung Karno, di Jakarta pada Ahad (26 Ogos).

Pemain nombor sembilan dunia yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-35 pada hari yang sama, diasak oleh pemain remaja dari Malaysia, S Sivasangari sebelum memenangi perlawanan lima set yang sengit dengan keputusan 11-13, 11-9, 5-11, 11-6 dan 11-8.

Kemenangan Nicol hari ini, menyumbang pingat emas kedua buat negara, selepas emas sulung diperoleh menerusi acara boling trio wanita pada 22 Ogos.

Bercakap kepada wartawan selepas pertarungannya, Nicol berkata beliau gembira dengan pingat emas kelima individu Sukan Asia yang diperolehnya itu.

Beliau memenangi empat pingat emas Sukan Asia, pada edisi 1998, 2006, 2010 dan 2014 dan pingat perak pada edisi 2002 di Busan Korea Selatan selepas tewas kepada Rebecca Chiu dari Hong Kong.

“Saya tahu perlawanan hari ini adalah sukar, memandangkan Sivasangari menewaskan dua pemain ranking teratas dalam kemaraannya ke final,” katanya.

“Selepas tiga set, saya tahu saya terpaksa menggunakan kesemua pengalaman saya dan memperbaiki permainan dalam dua set terakhir untuk memastikan kemenangan,” kata Nicol sambil menambah ini adalah Sukan Asia terakhir beliau sejak beraksi di Sukan Asia Bangkok 1998.

Bagaimanapun, anak kelahiran Pulau Pinang itu gembira melihat lebih banyak pemain remaja Malaysia menyerlahkan kehebatan mereka di persada antarabangsa, terutamanya di Sukan Asia.

Malaysia memperoleh satu pingat gangsa dalam acara perseorangan lelaki selepas Mohd Nafiizwan Adnan tewas kepada Max Lee dari Hong Kong dalam perlawanan separuh akhir semalam.

Skuad Malaysia akan terus memburu pingat dalam kedua-dua acara berpasukan lelaki dan wanita yang bermula esok.

Malaysia memenangi pingat emas dalam acara berpasukan wanita dua edisi berturut-turut, iaitu 2010 dan 2014 sementara pasukan lelaki memperoleh perak pada edisi 2010 dan 2014.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan