Skip to main content

Sukan

Piala Hyundai ASEAN: SG tersingkir meski atasi Thailand dalam perlawanan kedua peringkat separuh akhir

Anggaran Waktu Membaca:
Piala Hyundai ASEAN: SG tersingkir meski atasi Thailand dalam perlawanan kedua peringkat separuh akhir

Pemain sayap Singapura Farhan Zulkifli melepasi pemain Thailand dalam perlawanan kedua separuh akhir Piala Hyundai ASEAN di Stadium Rajamangala, Bangkok, pada 18 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Matthew Mohan)

Diterbitkan : 18 Aug 2026 11:40PM
  • Singapura menewaskan Thailand 2-1 di Stadium Rajamangala dalam separuh akhir kedua Piala Hyundai ASEAN pada 18 Ogos, namun tersingkir dengan agregat 3-4.
  • Pasukan kendalian Gavin Lee mempamerkan aksi bertenaga, dengan gol daripada Harhys Stewart dan jaringan sendiri pemain Thailand selepas tekanan Ryhan Stewart.
  • Thailand menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti Kakana Khamyok, tetapi Singapura kembali mendahului sebelum gagal mencari gol ketiga yang diperlukan.
  • Kemenangan ini menamatkan 11 kekalahan berturut-turut Singapura kepada Thailand, namun Thailand mara ke pusingan akhir kejohanan.
Dijana oleh AI
BANGKOK: Singapura menamatkan penantian 14 tahun untuk mengalahkan Thailand dengan kemenangan 2-1 dalam perlawanan kedua separuh akhir Piala Hyundai ASEAN pada Selasa (18 Ogos), namun tersingkir selepas tumpas 3-4 secara agregat.

Pasukan kendalian Gavin Lee turun di Stadium Rajamangala dengan tugas sukar selepas kecundang 1-3 dalam perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar Sabtu lalu (15 Ogos).

Namun, Pasukan Singa mempamerkan permulaan lebih bertenaga dan mendahului menerusi Harhys Stewart pada penghujung separuh masa pertama.
Related article image
Pemain Singapura Shah Shahiran melakukan terjahan dalam aksi menentang Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok, pada 18 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Matthew Mohan)
Di atas padang yang digenangi air selepas hujan lebat pada sebelah petang, Thailand terlebih dahulu mengancam menerusi Patrik Gustavsson.

Singapura pula mempunyai beberapa peluang, dengan penyerang Ilhan Fandi hampir membuka jaringan menerusi tendangan percuma sebelum tandukannya ditepis penjaga gawang Thailand Kampon Phatomakkakul.

Song Ui-young turut hampir meletakkan Singapura di depan, namun percubaannya diselamatkan Kampon.

Pasukan Singa akhirnya memecah kebuntuan pada penghujung separuh masa pertama.

Ini apabila Farhan Zulkifli meluru ke arah gawang tetapi percubaannya dinafikan Kampon sebelum Harhys menyambar bola dari luar kotak penalti untuk meletakkan Singapura 1-0 di hadapan.
Related article image
Pemain Singapura Jacob Mahler bersaing mendapatkan bola dalam aksi menentang Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok, pada 18 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Matthew Mohan)
THAILAND SAMAKAN KEDUDUKAN

Thailand menyamakan kedudukan pada minit ke-60 selepas Ryhan Stewart menjatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti.

Pemain gantian Kakana Khamyok menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Namun, Pasukan Singa kembali mendahului beberapa minit kemudian.

Hantaran rendah Ryhan ke dalam kotak penalti terkena pemain pertahanan Thailand Pansa Hemviboon untuk memberikan Singapura kelebihan 2-1.

Thailand hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-79 tetapi penjaga gawang Singapura Izwan Mahbud menyelamatkan bola dengan cemerlang terhadap percubaan Teerasak Poeiphimai.

Singapura terus memburu gol yang diperlukan untuk menyamakan kedudukan agregat, namun gagal menemui jaringan ketiga sebelum wisel penamat.

Kemenangan 2-1 itu menyaksikan pasukan Singa menamatkan rentetan 11 kekalahan berturut-turut kepada Thailand.
Related article image
Pemain Singapura Ryhan Stewart bersaing mendapatkan bola di udara dalam aksi menentang Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok, pada 18 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Matthew Mohan)
Kali terakhir Singapura mengalahkan juara tujuh kali itu adalah pada 2012, apabila pasukan Singa menang 3-1 dalam perlawanan pertama pusingan akhir di Stadium Jalan Besar.

Singapura kemudian menjulang piala meskipun kalah 0-1 dalam perlawanan kedua.

Edisi 2012 juga merupakan kali terakhir pasukan Singa mara ke pusingan akhir kejohanan tersebut.

Thailand kini mara ke pusingan akhir dengan kemenangan agregat 4-3.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita