Skip to main content

Sukan

Piala Hyundai ASEAN 2026: Vietnam kalahkan Malaysia 2-0, selangkah ke pusingan akhir

Anggaran Waktu Membaca:
Piala Hyundai ASEAN  2026: Vietnam kalahkan Malaysia 2-0, selangkah ke pusingan akhir

Nguyen Xuan Son dari Vietnam meraikan jaringannya dalam perlawanan separuh akhir Piala ASEAN Hyundai menentang Malaysia di Stadium Kuala Lumpur pada 16 Ogos 2026. (Gambar: SPORTFIVE)

Diterbitkan : 17 Aug 2026 09:11AM Dikemas Kini : 17 Aug 2026 10:44AM
  • Vietnam menewaskan Malaysia 2-0 dalam separuh akhir pertama Piala Hyundai ASEAN di Kuala Lumpur pada 16 Ogos, dengan jaringan Rafaelson dan gol sendiri Faris Danish.
  • Penjaga gol Vietnam, Patrik Le Giang, hampir dibuang padang tetapi keputusan kad merah dibatalkan selepas semakan video oleh pengadil Rustam Lutfullin.
  • Perlawanan kedua antara Vietnam dan Malaysia akan berlangsung di Hanoi pada 19 Ogos, dengan pemenang agregat bakal bertemu Thailand atau Singapura di pusingan akhir.
  • Thailand mendahului Singapura 3-1 selepas perlawanan pertama, dan pusingan akhir akan diadakan pada 22 dan 26 Ogos di tempat masing-masing.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Juara bertahan Vietnam mengalahkan Malaysia 2-0 dalam perlawanan pertama separuh akhir Piala Hyundai ASEAN  di Kuala Lumpur pada Ahad (16 Ogos), sekali gus meraih kelebihan selesa menjelang perlawanan kedua.

Penyerang kelahiran Brazil Nguyen Xuan Son, yang turut dikenali sebagai Rafaelson, membuka jaringan menerusi tandukan pada minit kelima masa kecederaan separuh masa pertama.

Jaringan itu hadir selepas Vietnam berjaya mengharungi tekanan awal daripada pasukan kendalian Tan Cheng Hoe.

Vietnam berdepan detik cemas pada minit ke-60 apabila penjaga gol Patrik Le Giang pada mulanya dilayangkan kad merah kerana memegang bola di luar kotak penalti.

Namun, pengadil Rustam Lutfullin membatalkan keputusan itu selepas meneliti rakaman menerusi monitor di tepi padang.

Pasukan kendalian Kim Sang-sik kemudian menggandakan kelebihan enam minit sebelum tamat permainan apabila pertahanan kiri Malaysia Faris Danish tertolak bola ke gawang sendiri melepasi penjaga gol Azri Ghani.

Faris hampir menebus kesilapannya pada saat-saat akhir, namun percubaannya ditepis Le Giang menerusi satu aksi untuk memastikan Vietnam menamatkan perlawanan tanpa dibolosi.

Kedua-dua pasukan akan bertemu lagi dalam perlawanan kedua separuh akhir di Hanoi pada Rabu (19 Ogos).

Pemenang menerusi agregat dua perlawanan itu akan berdepan Thailand atau Singapura dalam pusingan akhir.

Thailand mendahului Singapura 3-1 selepas perlawanan pertama separuh akhir pada Sabtu (15 Ogos), dengan perlawanan kedua berlangsung di Bangkok pada Selasa (18 Ogos).

Pusingan akhir Piala Hyundai ASEAN akan berlangsung menerusi dua perlawanan, masing-masing di padang sendiri dan padang lawan, pada 22 Ogos dan 26 Ogos.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita