Skip to main content

Sukan

Piala Hyundai ASEAN 2026: Penyokong 'gigit jari' tiket SG-Thailand habis dijual; harga jualan semula melambung

Bagi Goh Zun Rey, 19 tahun, ia pastinya menjadi suatu detik istimewa berada di Stadium Jalan Besar untuk memberi sokongan kepada pasukan negara apabila ia menentang Thailand dalam perlawanan separuh akhir kejohanan bola sepak ASEAN pada Sabtu (15 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Piala Hyundai ASEAN 2026: Penyokong 'gigit jari' tiket SG-Thailand habis dijual; harga jualan semula melambung

Para penyokong pasukan bola sepak negara memberi semangat kepada pasukan Singa ketika menentang Indonesia di Stadium Jalan Besar pada 7 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 12 Aug 2026 09:46PM
  • Penyokong bola sepak Singapura kecewa apabila tiket perlawanan separuh akhir menentang Thailand di Stadium Jalan Besar habis dijual sejurus penjualan bermula secara online.
  • Ramai penyokong, termasuk Goh Zun Rey dan Ayhan Escandar, gagal mendapatkan tiket walaupun mencuba awal, lalu terpaksa mencari alternatif menonton bersama di tempat lain.
  • Penjualan semula tiket pada harga jauh lebih tinggi di platform seperti Carousell menimbulkan kemarahan, dengan kumpulan Singa Brigade menggesa tindakan terhadap penjual semula.
  • Penyokong mencadangkan penjualan tiket secara fizikal dan sistem keutamaan untuk penyokong setia, memandangkan pengalaman sebelum ini lebih adil dan mengurangkan masalah ulat tiket.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Bagi Goh Zun Rey, 19 tahun, ia pastinya menjadi suatu detik istimewa berada di Stadium Jalan Besar untuk memberi sokongan kepada pasukan negara apabila ia menentang Thailand dalam perlawanan separuh akhir kejohanan bola sepak ASEAN pada Sabtu (15 Ogos).

Beliau, yang sering menghadiri perlawanan pasukan negara Singapura, juga berharap untuk mendapatkan tiket perlawanan tersebut bukan sahaja untuk dirinya, malah bagi sepupu-sepupunya yang lebih muda.

"Ia pastinya sangat bermakna," kata Encik Goh kepada Mediacorp. "Saya mahu membawa tiga sepupu saya yang lebih muda dan ia sepatutnya menjadi pengalaman pertama mereka menonton perlawanan bola sepak secara langsung."

Namun, tiket habis dijual sejurus selepas penjualan bermula pada Rabu, menyebabkan ramai penyokong seperti Encik Goh kecewa.

Penjualan tiket bermula pada pukul 11.00 pagi secara eksklusif menerusi wadah penjualan online Tickethotline, tanpa penjualan di kaunter atau di lokasi.

Para penyokong berkata mereka sudah menyertai barisan secara online sebelum pukul 11.00 pagi. Namun, apabila mereka berjaya mengakses laman utama penjualan tiket tersebut beberapa minit kemudian, tiada lagi tiket yang tersedia.

"Anda dapat lihat betapa terdesaknya sesetengah penyokong untuk mendapatkan tiket ini dan memang mengecewakan apabila kami tidak berjaya mendapatkannya," kata Encik Goh.

"Saya menunggu sehingga waktu makan tengah hari tetapi masih tidak berjaya mendapatkan tiket," kata Ayhan Escandar, 22 tahun.

"Saya memang hampa."

Kurang dua jam kemudian, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengesahkan menerusi media sosial bahawa tiket bagi perlawanan tersebut sudah habis dijual.

Perlawanan pertama separuh akhir yang dinanti-nantikan itu akan berlangsung pada 15 Ogos di Stadium Jalan Besar pada pukul 9.00 malam. Perlawanan kedua pula akan berlangsung pada 18 Ogos di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Pasukan Singa belum kalah dalam kejohanan tahun ini. Jumaat lalu, mereka seri 1-1 dengan Indonesia untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Perlawanan tahun ini diadakan di Stadium Jalan Besar, yang mempunyai sekitar 6,000 tempat duduk. Stadium Negara yang mempunyai 55,000 tempat duduk tidak dapat digunakan sepanjang kejohanan kerana ia menjadi lokasi bagi Perbarisan Hari Kebangsaan pada 9 Ogos serta raptainya sebelum itu.

HARGA MELAMBUNG TINGGI DI RUANG ONLINE

Apabila Mediacorp membuat semakan di platform jual beli online Carousell beberapa jam kemudian pada Rabu, terdapat beberapa penyenaraian yang menawarkan tiket perlawanan pada harga yang melambung tinggi.

Harga tiket bagi perlawanan pertama separuh akhir ialah S$49 untuk Kategori 1 dan S$35 bagi Kategori 2. Harga itu tidak termasuk yuran tiket sebanyak S$1.20 bagi setiap tiket dan yuran transaksi sebanyak lima peratus.

Seorang pengguna Carousell menawarkan tiket Kategori 1 pada harga S$1,500 setiap satu, kira-kira 30 kali ganda harga asalnya. Penjual tersebut menawarkan sepasang tiket.

Seorang lagi pengguna menawarkan dua tiket Kategori 1 pada harga S$200 setiap satu.

"Apa yang boleh saya lakukan hanyalah mengeluh," kata Encik Goh. "Kalau penjualan tiket dibuat secara online, perkara seperti ini pasti berlaku. Sebab itulah saya lebih suka penjualan tiket secara fizikal."

"Semua pihak rugi dalam keadaan ini," tambah Encik Ayhan. "Saya akan berasa terkejut jika suasana di stadium masih sama seperti perlawanan menentang Indonesia."

Kumpulan penyokong pasukan negara, Singa Brigade, menggesa orang ramai supaya "beramai-ramai melaporkan" para penjual semula tiket tersebut.

"Selepas melihat tindakan 'ulat tiket', kami rasa perkara ini sememangnya tidak betul," tulis kumpulan itu di media sosial.

"Ia menafikan peluang penyokong tegar, penyokong setia dan penyokong sebenar yang hanya mahu menyaksikan pasukan mereka beraksi.

"Bagi kami, menyokong Singapura bukan sekadar menonton perlawanan. Ia melibatkan kebanggaan, semangat dan sokongan teguh bagi pasukan kami."

Selain penyenaraian tiket untuk dijual, terdapat juga pelbagai catatan daripada para pengguna yang mahu membeli tiket perlawanan tersebut.

Para penyokong mencadangkan beberapa kaedah alternatif bagi penjualan tiket, termasuk menjualnya secara fizikal di lokasi sahaja.

Pada edisi kejohanan sebelumnya pada 2024, tiket bagi perlawanan separuh akhir antara Singapura dengan Vietnam dijual secara fizikal di Stadium Jalan Besar.

Para penyokong membentuk barisan panjang di stadium jauh lebih awal, sebelum penjualan bermula pada tengah hari, dengan sesetengah daripada mereka menunggu semalaman.

"Itu lebih baik berbanding penjualan tiket secara online kerana anda tahu siapa yang membeli tiket," kata Encik Goh, yang ketika itu menunggu dalam barisan selama lebih tiga jam.

Seorang lagi penyokong Singa yang hanya mahu dikenali sebagai Marcus berkata FAS boleh menimbangkan sistem tiket berpusat yang memberi keutamaan tertentu kepada para penyokong yang kerap menghadiri perlawanan Liga Perdana Singapura (SPL) untuk mendapatkan tiket perlawanan pasukan negara yang mendapat permintaan tinggi.

"Sudah tentu, dari sudut lain, selagi orang ramai mahu datang, saya sangat gembira melihat penyokong baharu menonton bola sepak dan mungkin mereka boleh menjadi penyokong tetap," tambah beliau.

Buat masa ini, para penyokong yang gagal mendapatkan tiket perlu berpuas hati dengan menghadiri atau menganjurkan acara tersendiri untuk menonton perlawanan secara beramai-ramai.

"Rancangan saya adalah untuk membawa sepupu-sepupu saya ke Kelab Masyarakat Boon Lay. Saya tahu suasananya mungkin tidak sama; kami tidak dapat menontonnya secara langsung di stadium dan tiada apa yang dapat menandingi suasana di Stadium Jalan Besar," kata Encik Goh.

"Tetapi walaupun saya atau penyokong lain tidak dapat pergi, saya harap para penyokong dapat memenuhi stadium dan mewujudkan suasana yang cukup meriah."

Mediacorp sudah menghubungi FAS untuk mendapatkan maklumat lanjut, termasuk jumlah tiket yang dikeluarkan.

Kallang Group juga sudah dihubungi untuk mendapatkan maklumat berhubung tempoh yang diperlukan untuk memasang semula padang di Stadium Negara selepas Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP2026).
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita