Piala Hyundai ASEAN 2026: FAS anjur acara tontonan, beri amaran tiket jualan semula
Dengan tiket bagi perlawanan separuh akhir Piala Hyundai ASEAN 2026 antara Singapura dengan Thailand habis dijual, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menggesa penyokong supaya tidak membeli tiket perlawanan itu daripada penjual semula yang tidak sah.
- Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menasihatkan penyokong supaya tidak membeli tiket separuh akhir Piala Hyundai ASEAN 2026 daripada penjual semula tidak sah selepas tiket habis dijual.
- FAS memberi amaran bahawa tiket yang dijual semula berisiko tidak sah, boleh menyebabkan kerugian dan kemasukan ke stadium mungkin dinafikan.
- Penyokong yang tidak mendapat tiket digalakkan menghadiri acara tontonan beramai-ramai di tujuh lokasi seluruh Singapura untuk kedua-dua perlawanan separuh akhir.
- FAS turut menghargai sokongan padu penyokong dan menekankan pentingnya keselamatan serta pengalaman menonton yang positif.
FAS menyatakan demikian menerusi catatannya di Facebook pada Khamis (13 Ogos) selepas iklan-iklan penjualan semula tiket dikesan di plaform-platform online.
“Kami tidak bersetuju dengan kegiatan menjual semula tiket untuk meraih keuntungan dan menggesa penyokong supaya tidak membeli tiket daripada penjual semula yang tidak sah,” menurut FAS.
FAS menambah, tiket yang dibeli tidak boleh dipindah milik atau dijual semula tanpa kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada pihak penganjur.
FAS juga menegaskan pihaknya tidak dapat menjamin kesahihan tiket yang dijual semula menerusi media sosial atau platform beli-belah online.
Ia juga menjelaskan pembeli sedemikian berisiko membeli tiket yang tidak sah atau palsu, dinafikan kemasukan ke stadium atau mengalami kerugian sekiranya tiket tersebut tidak sah atau tidak diserahkan oleh pihak penjual.
Penyokong pasukan lawan turut dinasihatkan supaya tidak membeli tiket daripada penjual semula kerana mereka mungkin dinafikan kemasukan atau diarahkan keluar dari stadium jika didapati berada di bahagian yang dikhaskan untuk penyokong tuan rumah.
7 LOKASI ACARA TONTONAN SECARA LANGSUNG
Atas sebab itu, bagi penyokong yang tidak berjaya mendapatkan tiket, FAS menggalakkan mereka untuk menyertai acara tontonan beramai-ramai bagi kedua-dua perlawanan separuh akhir yang akan berlangsung.
Bagi perlawanan pertama pada Sabtu, acara tersebut akan diadakan di Hab Tampines Kita (OTH), Kelab Masyarakat (CC) West Coast, Boon Lay CC, Woodlands CC, Cheng San CC, ACE The Place CC dan Kallang Wave Mall.
Acara tontonan bagi perlawanan kedua antara Thailand dengan Singapura pada 18 Ogos pula akan diadakan di OTH, Tampines West CC, Woodlands CC, Boon Lay CC, Bishan CC, One Punggol dan Kallang Wave Mall.
FAS turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong kumpulan Singapura atas sokongan padu mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.